Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Mohd Rashidi Ruslan (dua, kiri) bersama Orang Besar Daerah Petaling Dato’ Emran Kadir (tiga, kanan) menyampaikan hadiah wang tunai RM22,000 kepada Muhammad Riezuan Ramlee (tengah) selepas muncul juara pertandingan memancing sempena ulang tahun MBSA ke-22 di Taman Tasik Shah Alam pada 30 Oktober 2022. Foto MBSA
PBTSELANGOR

Pertandingan memancing MBSA dapat sambutan, lebih 700 peserta terlibat

SHAH ALAM, 1 NOV: Pertandingan memancing sempena sambutan ulang tahun Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ke-22 pada 30 Oktober lalu mendapat sambutan dengan 767 penyertaan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad pertandingan berlangsung di Taman Tasik Shah Alam di sini menawarkan hadiah wang tunai RM36,444 kepada pemenang menerusi kategori ikan terberat.

Beliau berkata ia juga adalah platform MBSA untuk menggalakkan aktiviti rekreasi dalam kalangan masyarakat khususnya warga bandar raya itu.

“Pertandingan tersebut turut menjadi inisiatif MBSA untuk mempromosikan Taman Tasik Shah Alam dan taman-taman awam yang lain.

“Taman tasik itu juga menyediakan pelbagai kemudahan seperti trek ‘jogging’, jambatan kanopi, titi gantung, trek basikal kanak-kanak, wakaf dan terbaharu perkhidmatan Zipline Shah Alam dan Laman Budaya Musical Fountain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, menerusi program memancing itu Muhammad Riezuan Ramlee menjuarai pertandingan dengan membawa pulang wang tunai RM22,000 apabila berjaya mengail ikan patin seberat 6.8 kilogram (kg).

Manakala Mukhtar Hamit di tempat kedua dan memenangi RM10,022 hasil tangkapan ikan patin 6.27 kg diikuti Muhammad Aniq Iskandar Ahmad Radzi (ketiga) dengan RM2,022 yang berjaya memancing ikan jenis yang sama seberat 5.4 kg.

Selain itu, hadiah saguhati dari keempat hingga ke-15 masing-masing menerima wang tunai RM200. Hadiah disampaikan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Mohd Rashidi Ruslan.


Pengarang :