EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau (dua, kanan) dan EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tiga, kanan) bergambar bersama penerima sumbangan sempena Majlis Perasmian Simbolik Dana Program Santuni Pusat Kebajikan di Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah Selangor Seksyen 30, Shah Alam pada 22 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Peruntuk RM1.5 juta bantu pusat kebajikan kekal lestari, kondusif

SHAH ALAM, 25 NOV: Sejumlah RM1.5 juta diperuntuk kepada pusat kebajikan yang memerlukan sokongan dan dana, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menerusi program pemerkasaan pusat kebajikan itu, bantuan dapat memastikan operasi pengurusan kekal lestari dan kondusif.

“Pada 2023 Kerajaan negeri beriltizam memperkukuh serta menambah baik program berteras kebajikan. Justeru pusat kebajikan merupakan komponen penting dalam memastikan kebajikan golongan kurang bernasib baik seperti warga emas, anak yatim piatu dan orang kelainan upaya terjamin.

“Sebagai kerajaan prihatin dan penyayang, Kerajaan Selangor komited dalam pelaksanaan agenda pemerkasaan pusat kebajikan,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023 hari ini.

Beliau turut mengumumkan dana sejumlah RM500,000 bagi menjayakan program kebajikan usahasama melibatkan pentadbirannya dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Di Selangor, persatuan dan NGO aktif melaksanakan kebajikan secara sukarela. Kerajaan Negeri akan memantapkan kerjasama dengan NGO bagi memberdaya golongan memerlukan serta memperkasa komuniti setempat. Golongan sasar akan menikmati manfaat dan bantuan,” katanya.


Pengarang :