Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan khas Dato’ Menteri Besar Selangor ketika program bersama penggerak masjid sempena Jelajah Selangor Penyayang Sepang di Masjid Taman Putra Perdana Puchong, Sepang pada 29 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Peruntukan RM21 juta baik pulih, bina semula tiga masjid

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 25 NOV: Peruntukan RM21 juta disediakan bagi membaik pulih dan membina semula tiga masjid di negeri ini termasuk Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan kerja baik pulih masjid negeri itu melibatkan kemasan dinding granit dengan anggaran kos RM8.75 juta dan penggantian lapisan kalis bumbung rata (RM5.2 juta).

Beliau dalam pembentangan Belanjawan 2023 hari ini berkata masjid tersebut yang dikenali sebagai Masjid Biru yang disiap dibina pada 1988 dan dianggap binaan terindah di negeri ini mula mengalami kerosakan sejak 2013.

Amirudin menambah peruntukan RM500,000 juga disediakan bagi kerja awal membina semula Masjid Al-Ehsan Kampung Tok Muda, Klang pada tahun depan dengan kos RM20 juta sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12.

“Masjid lama binaan kayu yang akan dibangunkan semula serta diberikan nafas baru oleh Kerajaan Negeri bagi memberi keselesaan serta mewujudkan persekitaran kondusif kepada para jemaah,” katanya lagi.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga meluluskan peruntukan berjumlah RM7 juta bagi membina Masjid Sungai Chinchin Batu 7 ¾, Gombak.

“Semoga dengan terbinanya sebuah masjid baru ini penduduk kampung di Sungai Chinchin dapat mengimarahkannya dengan sebaik mungkin,” katanya.


Pengarang :