Peserta melakukan uji kaji menghasilkan baja dari campuran kangkung dan gula merah dalam program Lil Scientist@SCi-Tizen 2 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Subang Jaya pada 5 November. Foto Universiti Putra Malaysia
AGENDANASIONAL

Peserta cilik hasil baja dari kangkung dalam program sains anjuran UPM

SHAH ALAM, 22 NOV: Menghasilkan baja dari kangkung dan gula merah antara uji kaji dilakukan peserta berusia empat hingga 12 tahun pada program Lil Scientist@SCi-Tizen 2 di Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.

Program anjuran Jabatan Kimia Fakulti Sains UPM dan Kelab Mahasiswa Kimia Fakulti Sains dan Unit Organik disertai 130 kanak-kanak dan dibantu pensyarah serta pelajar.

Ketua program Dr Nadiah Mad Nasir berkata peserta didedahkan dengan pembelajaran secara interaktif untuk menarik minat kepada bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

“Kanak-kanak diberi peluang sendiri untuk melakukan eksperimen yang membantu meningkatkan kemahiran psikomotor seperti penyelarasan, ketepatan, pemerhatian dan sentuhan.

“Antara bahan telah dihasilkan termasuk baja diperbuat dari bahan kitar semula iaitu sisa sayur kangkung yang ditambah dengan gula merah,” katanya ketika dihubungi Selangorkini hari ini.

Antara lain peserta juga melakukan uji kaji penghasilan penyegar udara dari garam, sabun, model roket dan cecair pembunuh kuman menggunakan minyak pati.

Dr Nadiah berkata program itu turut melatih ahli akademik dan mahasiswa terbabit untuk lebih peka kepada keadaan semasa dan meningkatkan mutu komunikasi dengan masyarakat.

“Kita mahu melahirkan masyarakat mempunyai sifat kesukarelawanan tinggi, merendah diri dan sentiasa berkongsi ilmu,” katanya.


Pengarang :