Sebanyak 152 gerai pameran terlibat dalam Pesta Buku Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 11 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pesta buku antarabangsa Selangor peluang pengunjung temu penerbit luar negara, pamer bakat

SHAH ALAM, 30 NOV: Pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 berpeluang bertemu pengedar dan penerbit luar negara sepanjang 11 hari mulai 1 Disember.

Bloomsbury dan Wiley dari United Kingdom dan Brand Media dari Indonesia antara penerbit yang dibawa khas Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) kepada pencinta buku sempena pesta julung kali dianjurkan itu.

Bertempat di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 13 di sini, pesta buku berkenaan turut disertai pengedar dan penerbit tempatan.

Pesta kali ini juga menyediakan sudut bakat yang membuka peluang kepada penulis manuskrip buku lengkap untuk mencari penerbit sesuai.

Manuskrip dinilai oleh pustakawan PPAS untuk disyorkan kepada penerbit untuk membuat pertimbangan sebelum menerbitkan karya mereka.

Pesta Buku Antarabangsa Selangor yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 13 dari 1 hingga 11 Disember 2022. Foto Facebook Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor

Selain itu, pengunjung juga berpeluang menjadi salah seorang daripada sembilan pemenang cabutan bertuah wang tunai RM500 setiap hari sepanjang pesta berkenaan.

Beberapa aktiviti sampingan antarabangsa turut dijalankan seperti Peraduan Kanak-Kanak Antarabangsa Selangor yang melibatkan penceramah dari luar negara.

Menerusi program ini, peserta berpeluang menyertai bengkel membaca, klinik ilustrator, seminar dan bimbingan daripada penggiat buku kanak-kanak.

PPAS menganjurkan Pesta Buku Selangor sejak 16 tahun lalu, namun pada kali ini memperkenalkan Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022.


Pengarang :