Pemain Selangor FC mengawal bola daripada dirampas pemain Negeri Sembilan FC dalam perlawanan kedua-dua pasukan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya pada 6 November 2022. Foto Facebook SELANGOR FC
AGENDASUKANKINI

Piala Malaysia: Selangor menang bergaya, bawa bekalan selesa ke Paroi

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Juara 33 kali Piala Malaysia, Selangor FC meneruskan rentak cemerlang di bawah kendalian pengendali baharu, Tan Cheng Hoe dengan menumpaskan Negeri Sembilan FC 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, malam tadi.

Tuan rumah yang mendominasi separuh masa pertama mendapat beberapa peluang keemasan untuk merobek gawang pelawat terutamanya menerusi tonggak serangan dari Myanmar, Hein Htet Aung namun dua percubaannya, masing-masing pada minit kedua dan minit ke-45 dinafikan penjaga gol Negeri Sembilan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Padah menimpa skuad Hobin Jang Hobin itu apabila Herold Mark Goulon pemain dilayangkan kad merah pada minit ke-54 susulan tindakannya menjatuhkan pemain pertahanan Sharul Nazeem Zulpakar, sekali gus menyaksikan Selangor dianugerahkan sepakan penalti yang disempurnakan penyerang dari Brazil Herlison Caion, selang dua minit kemudian.

Selangor yang terus menguasai perlawanan akhirnya melengkapkan kemenangan berharga apabila pemain gantian, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau menggamatkan penyokong tuan rumah selepas sepakan kaki kirinya menewaskan Ahmad Syihan pada masa kecederaan babak kedua.

Dalam pada itu, misi Kuala Lumpur (KL) City FC dalam mempertahankan Piala Malaysia tampak sukar selepas tewas tipis 0-1 kepada Terengganu FC (TFC) di laman sendiri pada aksi suku akhir pertama.

Perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras di sini malam tadi menyaksikan KL City terlebih dahulu menguji gawang TFC selepas percubaan ketua pasukan Paulo Josue melewati palang gol pada minit ketiga.

Bagaimanapun, penyerang import Skuad Penyu, Kpah Sherman memanfaatkan situasi kelam kabut di depan pintu gol tuan rumah dengan melepaskan sepakan leret untuk membuka tirai jaringan buat TFC pada minit ke-14.

Pasukan bimbingan Nafuzi Zain yang terus “ghairah” melancarkan serangan ke kubu skuad warga kota hampir menambah jaringan kedua apabila sepakan voli Sherman diselamatkan penjaga gol Kevin Ray Mendoza pada minit ke-30 sebelum Josue berpeluang menyamakan kedudukan KL City namun tandukannya singgah di palang gol, lima minit sebelum menuju ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, TFC “tempang” dengan 10 pemain apabila tindakan penjaga gol Mohd Suhaimi Husin menjatuhkan penyerang Colombia, Romel Morales, di luar kotak penalti mengakibatkannya diperintah keluar padang pada minit ke-62.

Penjaga gol gantian, Mohd Shamirza Yusoff yang menggantikan Mohd Faiz Mohd Nasir menampilkan aksi cemerlang apabila menyelamatkan dua percubaan merbahaya tuan rumah pada minit ke-67 iaitu sepakan percuma Josue disusuli sepakan pemain pertahanan Giancarlo Gallifuoco.

Walaupun mempunyai kelebihan bermain dengan seorang pemain, skuad kendalian jurulatih berpengalaman dari Croatia, Bojan Hodak gagal menembusi benteng pertahanan TFC, dan kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

TFC akan menanti kunjungan KL City manakala Selangor mempunyai bekalan selesa untuk dibawa ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menentang Negeri Sembilan, dengan kedua-dua perlawanan timbal balik dijadual berlangsung 12 November ini.

– BERNAMA


Pengarang :