Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 27 November 2022. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Kabinet dibentuk segera selepas timbang pandangan semua parti kerajaan

PETALING JAYA, 28 NOV:  Pembentukan Kabinet kerajaan perpaduan akan dibuat secepat mungkin selepas mengambil kira pandangan daripada semua parti dalam kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu harus diteliti memandangkan saiz Kabinet dalam kerajaan perpaduan akan dikecilkan.

“Seperti mana saya sebut, tidak seperti biasa, kerajaan perpaduan ini melibatkan lapan parti.

“Kalau dulu (kerajaan terdahulu) masuk (lantik) 50, 60 (ahli Kabinet) okay saja…tak cukup lagi, (lantik pula) duta dan penasihat khas. Saya tidak sanggup buat begitu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Ibu Pejabat PKR, di sini hari ini.

Mengenai kemungkinan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menganggotai Kabinet, Anwar berkata: “Pandangan semua kita ambil kira dalam perbincangan, tetapi kita tahu dari segi undang undang, hanya setelah ada hukuman (apabila terbukti bersalah oleh mahkamah)… yang lain (tidak bersalah) itu kita boleh pertimbangkan,” katanya.

Mesyuarat itu adalah yang pertama selepas Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10, yang antara lain membincangkan perkembangan parti dalam PH pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Antara pemimpin utama PH yang hadir Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Presiden Amanah Mohamad Sabu selain Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan wakil Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO).

Selain itu, Anwar menegaskan usul Undi Percaya terhadapnya tetap akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat pada 19 Dis ini, walaupun terdapat pemimpin PH berpandangan usul itu tidak perlu dibentangkan kerana tidak timbul isu keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu, beliau berkata mesyuarat hari ini antara lain membincangkan mengenai perkembangan semasa parti selepas berhadapan PRU15, selain berkongsi hasil pertemuan khas beliau bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Seri Perdana, Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata mesyuarat itu turut membincangkan soal kos sara hidup, selain isu risiko banjir susulan amaran hujan berterusan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

Selain itu katanya Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa polis diarah mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah mengenai beliau.

“Anwar tidak berhasrat untuk mengambil tindakan terhadap kritikan awam terhadapnya seperti memakai capal (ketika memulakan tugas di Pejabat Perdana Menteri), tapi we draw the line terhadap elemen-elemen fitnah, seperti tuduhan Anwar ejen Israel dan sebagainya… beliau (Perdana Menteri) telah meminta polis ambil tindakan,” katanya.

Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada Khamis lepas dan memimpin kerajaan perpaduan yang dianggotai PH yang mempunyai 82 kerusi, diikuti BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), dan Gabungan Rakyat Sabah (enam) serta parti-parti lain.

— BERNAMA

 


Pengarang :