AGENDAJENAYAH

Polis buru dua lelaki samun klinik gigi di Bangi

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Polis memburu dua lelaki kerana disyaki terlibat menyamun sebuah klinik pergigian di Bandar Seri Putra, Bangi, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata pihaknya menerima satu laporan mengenai kejadian selain satu video tular berkaitan klinik berkenaan yang memaparkan dua lelaki memakai topi keledar bersenjatakan parang telah masuk dan merompak kakitangan serta pelanggan di premis itu.

“Suspek telah mengambil sebuah Macbook, dua telefon bimbit, wang tunai hampir RM2,000 dan seutas rantai emas.

“Dalam kejadian ini, kesemua mangsa yang berada di dalam premis itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Zaid berkata kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan dengan menggunakan senjata.

Beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Insp Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi membantu siasatan.

– BERNAMA


Pengarang :