Orang ramai membantu calon Pakatan Harapan Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil (dua, kiri) mencabut pelekat yang yang ditampal individu tidak bertanggungjawab di poster kempen beliau pada 14 November 2022. Foto tangkap layar video di Facebook Fahmi Fadzil
AGENDANASIONAL

Polis giat jejak individu khianat poster calon HARAPAN Lembah Pantai

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Polis sedang giat mengesan individu yang disyaki terlibat dalam kes khianat terhadap calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi kerusi Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dengan merosakkan bahan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata insiden itu disedari oleh pengadu, yang merupakan Timbalan Ketua Amanah kawasan Lembah Pantai, pada 12.55 tengah hari melalui kumpulan WhatsApp iaitu papan iklan calon HARAPAN berkenaan dikhianati apabila ditampal pelekat tertulis perkataan mengaibkan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di tiga lokasi iaitu pertama di Jalan Pantai Permai 1, kedua di Jalan Maarof, Bangsar manakala yang ketiga di Jalan Kerinchi berhampiran SMK Seri Pantai.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan/4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana khianat dan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan yang memperuntuk hukuman penjara atau denda, atau kedua-duanya,” menurut beliau dalam kenyataan malam tadi.

Amihizam turut mengingatkan semua pihak yang terlibat atau mana-mana individu agar tidak membuat apa-apa provokasi yang boleh mengganggu proses demokrasi di negara ini.

“Sebarang maklumat berkaitan perbuatan khianat boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.

Terdahulu, Fahmi melalui laman Twitter beliau mendedahkan bahawa terdapat sebahagian bahan kempennya pada PRU15 telah dirosakkan oleh individu tidak bertanggungjawab.
– BERNAMA

 


Pengarang :