Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 12 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis minta bantuan kesan remaja perempuan hilang

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Petaling Jaya, di sini sejak Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata remaja itu dikenali sebagai Ng Siew Ting dengan alamat terakhirnya di No. 9, Jalan PJU 10/13B Saujana Damansara, Damansara Damai, Petaling Jaya.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan polis daripada penjaga mangsa dan remaja berkenaan tidak memaklumkan kepada keluarganya mengenai tujuan untuk keluar pada waktu itu.

“Ng mempunyai kad pengenalan bernombor 060825-14-1364, ketinggiannya lebih kurang 165 sentimeter, berbadan kurus berkulit kuning langsat dan berambut hitam pendek paras bahu.

“Remaja berkenaan berpakaian baju kemeja-T putih lengan pendek dan berseluar pendek hitam, berselipar serta membawa beg berwarna ungu atau biru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan remaja itu untuk tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

Mohamad Fakhrudin berkata sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya Inspektor Amir Hakimi Zakaria menerusi talian 012-3783178 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya 03-79662222.

– BERNAMA


Pengarang :