AGENDA NASIONAL

Polis tahan 152 disyaki terlibat judi bola sepak Piala Dunia

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 152 individu menerusi Op Soga IX sejak 19 November lepas hingga semalam kerana disyaki terlibat dengan kegiatan judi bola sepak Piala Dunia Qatar 2022.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata dalam tempoh berkenaan pihaknya turut merampas pelbagai barang, antaranya nilai had kredit di dalam perisian berjumlah RM3,177,293.17, wang tunai RM113,140, komputer, telefon bimbit dan kertas-kertas catatan pertaruhan.

Beliau berkata Selangor merekodkan tangkapan terbanyak dengan 38 individu diikuti Johor (29), Pulau Pinang (18), Sarawak (15), Kedah (12), Negeri Sembilan (11), Kuala Lumpur (tujuh), masing-masing enam di Sabah dan Pahang, Melaka (empat), Perak (tiga), Kelantan (dua) dan Terengganu (satu).

“Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953, Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953, Seksyen 4(1)(d) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Noorsiah berkata Op Soga IX akan dijalankan hingga 21 Disember ini dalam usaha menangani aktiviti perjudian.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian supaya menyalurkannya melalui hotline WhatsApp Op Soga IX dengan menelefon 016-5773477.

– BERNAMA


Pengarang :