Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari disertai Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Datin Paduka Mastura Muhamad (kanan) meninjau reruai buku ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 6 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PPAS sedia sudut bakat, pelawa penulis terbit buku

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 28 NOV: Penulis yang mempunyai manuskrip buku lengkap tetapi masih mencari penerbit sesuai dipelawa menyerahkan manuskrip mereka di sudut bakat, Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 pada Disember ini.

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) memaklumkan penulis yang berminat boleh menyerahkan manuskrip lengkap dan bercetak kepada wakil agensi itu di pesta buku berkenaan.

“Anda seorang penulis yang sudah mempunyai manuskrip buku lengkap tetapi tidak tahu hendak berjumpa dengan penerbit mana untuk menerbitkan buku anda? Serahkan manuskrip lengkap anda kepada wakil PPAS di sudut bakat.

“Manuskrip akan dinilai oleh pustakawan PPAS untuk disyorkan kepada penerbit yang berminat dan sekiranya manuskrip anda terpilih kami akan padankan dengan penerbit yang berminat untuk menerbitkan karya anda,” katanya di Facebook.

 

Pesta Buku Antarabangsa Selangor yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 13 dari 1 hingga 11 Disember 2022. Foto Facebook Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor

Pesta Buku Antarabangsa Selangor yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 13 dari 1 hingga 11 Disember 2022 buat julung kali disertai pengedar dan penerbit buku luar negara antaranya Bloomsbury dan Wiley dari United Kingdom dan Brand Media dari Indonesia.

Beberapa aktiviti sampingan lain turut diadakan seperti Peraduan Kanak-Kanak Antarabangsa Selangor merangkumi bengkel membaca, klinik ilustrator, seminar dan bimbingan daripada penggiat buku kanak-kanak.

PPAS turut menawarkan hadiah wang tunai RM500 kepada pengunjung bertuah dengan sembilan cabutan bertuah akan dibuat setiap hari sepanjang pesta berlangsung.


Pengarang :