Pengguna beratur menaiki Bas Smart Selangor ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 2 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Prasarana: 100 termasuk 20 bas Smart Selangor bawa penumpang LRT terjejas

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Rapid Bus menambah 20 buah bas perantara percuma untuk membawa penumpang yang terjejas berikutan penutupan 16 stesen tren Transit Aliran Ringan (LRT) antara Kelana Jaya dan Ampang Park bermula semalam.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan memaklumkan jumlah bas perantara kini mencecah lebih 100 buah bagi menampung penumpang di lima laluan melibatkan Laluan LRT 1: Stesen Ara Damansara – Stesen Pasar Seni; dan Laluan LRT 2: Stesen Ara Damansara – Stesen Kelana Jaya.

Selain itu, laluan yang terlibat adalah Laluan LRT 3: Stesen Kelana Jaya – Stesen Pasar Seni; Laluan LRT 4: Stesen Pasar Seni – Stesen Masjid Jamek; dan Laluan LRT 5: Stesen Masjid Jamek – Stesen Dato’ Keramat.

Penambahan 20 buah bas itu dilakukan selepas mendapat kerjasama daripada Smart Selangor.

Sebanyak 80 petugas Prasarana ditempatkan di stesen terbabit untuk memudahkan pergerakan penumpang dengan memberi panduan bagi menaiki bas perantara.

“Bagi penumpang yang terjejas oleh gangguan perkhidmatan, pihak Rapid Rail akan memberi tambang percuma untuk setiap hari gangguan perkhidmatan kepada pengguna LRT Laluan Kelana Jaya.

“Ini akan dilaksanakan selepas perkhidmatan laluan tersebut dipulihkan. Maklumat terperinci diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Perkembangan proses baik pulih LRT Laluan Kelana Jaya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran media sosial dan media massa.

Perkhidmatan tren LRT antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park digantung tujuh hari bermula 6 pagi tadi, selepas mengambil kira faktor keselamatan penumpang serta masa yang akan diambil untuk mengenal pasti punca gangguan perkhidmatan.

-BERNAMA

 


Pengarang :