Pengguna perkhidmatan LRT yang terkandas di Stesen Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) selepas perkhidmatan antara laluan stesen Kelana Jaya dan KLCC dilaporkan mengalami masalah teknikal ketika tinjauan pada 8 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Prasarana: LRT laluan Kelana Jaya selamat, stabil

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan pemerhatian ke atas sistem kritikal perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya adalah selamat dan stabil.

Dalam kenyataan semalam, Rapid Rail giat menjalankan ujian ke atas 38 tren dan ia penting dalam menentukan kestabilan serta keboleharapan, sebelum sebarang keputusan untuk membuka sepenuhnya laluan tersebut.

“Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya hanya akan dibuka kepada orang ramai setelah ujian-ujian yang dijalankan tidak menunjukkan sebarang gangguan kepada sistem kritikal keselamatan, dan lulus penilaian oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat,” katanya.

Sebelum ini, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengumumkan perkhidmatan LRT antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park digantung tujuh hari bermula 9 hingga 15 Nov susulan perkhidmatan yang didapati tidak stabil.

Penggantungan sementara itu selepas mengambil kira faktor keselamatan penumpang serta masa yang diambil untuk mengenal pasti punca gangguan perkhidmatan.

Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya kini hanya beroperasi dari stesen Gombak ke stesen Damai serta dari stesen Lembah Subang ke stesen Putra Heights.

-BERNAMA


Pengarang :