Rombongan Premier Sarawak Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg bergambar kenangan pada pertemuan di rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim dekat Kajang. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Premier Sarawak berkunjung ke rumah PM baharu

SHAH ALAM, 26 NOV: Premier Sarawak Tan Sri Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg dan rombongan berkunjung ke rumah perdana menteri baharu hari ini.

Menerusi Facebook, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau yakin pertemuan itu dapat merapatkan lagi hubungan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan Sarawak.

“Gabungan Parti Sarawak menjadi antara tunggak selain Barisan Nasional, Warisan dan juga Gabungan Rakyat Sabah yang membentuk Kerajaan Perpaduan yang dikemudi saya.

“Insya-Allah, hubungan di antara kerajaan persekutuan dan Sarawak pastinya lebih akrab dan diperkukuh dalam rencana melakar sebuah Malaysia yang lebih baik dan berketerampilan,” katanya.

Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara kelmarin.

Pada sidang media pertama sebagai perdana menteri, Anwar menegaskan kerajaan perpaduan yang dibentuk dengan penyertaan beberapa parti akan memastikan kestabilan negara dan ekonomi serta menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan.


Pengarang :