Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berucap pada Majlis Apresiasi Pencegahan Jenayah IPD Labuan di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan Labuan pada 4 Julai 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Presiden KDM ditahan, polis siasat kejadian kecoh di pusat penamaan Tenom

KOTA KINABALU, 6 NOV: Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony ditahan di sini tengah malam tadi bagi membantu siasatan berhubung insiden kekecohan di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Tenom semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap itu bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan polis pagi ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata pihaknya sedang menyiasat insiden itu di bawah Seksyen 24A(2) Akta Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut pihak polis seterusnya membawa kepada tangkapan Datuk Peter Anthony bagi membantu siasatan. Siasatan dan dokumentasi polis berjalan dengan lancar dan beliau diberi (dibebaskan dengan) jamin polis pagi ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Peter ditahan ketika hadir di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Balai Polis Karamunsing di sini.

Semalam, tular di media sosial rakaman video kejadian kekecohan di luar pusat penamaan calon itu yang menunjukkan sekumpulan individu, dipercayai penyokong KDM, merusuh sehingga memaksa anggota keselamatan melepaskan gas pemedih mata.

Idris dilaporkan berkata kekecohan itu berpunca daripada penolakan pencalonan Peter oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dengan alasan beliau masih mempunyai kes mahkamah yang belum selesai.

Pada 26 Mei 2022, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 terhadap Peter selepas didapati bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah.

Mahkamah itu juga pada 1 Ogos lepas membenarkan permohonan Peter bagi menggantung hukuman dan sabitan salah terhadapnya.

Peter memfailkan permohonan tersebut bagi membolehkannya bertanding pada PRU15.

– BERNAMA


Pengarang :