Petugas menyediakan barangan keperluan asas yang akan dijual sempena program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Kuang di Dataran Setia, Kampung Setia, Kuang pada 30 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Program jualan murah tetap dapat sambutan biarpun dianjur bukan pada hari cuti

OLEH DIANA ABD WAHAB

KUANG, 30 NOV: Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) anjuran Kerajaan Negeri yang berlangsung di Dataran Setia Kampung Setia di sini tetap mendapat sambutan menggalakkan biarpun diadakan bukan pada hari cuti.

Penolong Pengurus Kanan Ladang Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Raja Muhammad Faiz Raja Bazaid berkata orang ramai mula beratur seawal jam 7 pagi dan semua barangan habis terjual dalam tempoh satu jam setengah.

“Kita mula jualan 30 minit lebih awal berbanding kebiasaan kerana orang ramai mula beratur jam 7 pagi. Tepat jam 10 pagi hampir 300 ekor ayam dan 200 papan telur terjual, dalam sejam semua 500 ekor dan 300 papan terjual.

Raja Muhammad Faiz Raja Bazaid ketika ditemui pada program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Kuang di Dataran Setia, Kampung Setia, Kuang pada 30 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Telur dan ayam kita hadkan masing-masing satu papan dan dua ekor setiap seorang bagi pastikan semua dapat peluang beli barangan terlaris. Jika pembeli mahu lebih perlu beratur dan ambil giliran sekali lagi,” kata ketika ditemui hari ini.

Program kendalian PKPS itu menawarkan jualan 300 pek daging pejal segar (RM10 per pek), 150 botol minyak masak 5kg (RM25), 300 kampit beras 5kg (RM10) dan 300 pek ikan kembung (RM6 per pek).

Program melibatkan 56 DUN itu bermula 6 September lepas dan sepatutnya berakhir 6 Disember, namun Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan inisiatif itu disambung hingga Mac tahun depan susulan sambutan menggalakkan.

 


Pengarang :