Orang ramai menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Kemuning Utama pada 7 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Program kesihatan percuma bukti negeri peduli rakyat, tingkat kualiti hidup

Oleh Diana Abd Wahab

SELAYANG, 27 NOV: Pelbagai program kesihatan yang diteruskan serta ditambah baik dalam Belanjawan Selangor 2023 membolehkan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah menikmati perkhidmatan kesihatan berkualiti.

Ainil Nadwa Khalid. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Pengurus Jabatan Sumber Manusia Ainil Nadwa Khalid, 39, berkata insentif kesihatan itu merupakan langkah pencegahan awal yang melindungi keluarga kurang mampu daripada pelbagai penyakit kritikal.

“Langkah ini menunjukkan negeri peduli rakyat dengan memberi peluang golongan kurang mampu nikmati perkhidmatan kesihatan berkualiti termasuk saranan rawatan jika dikesan hidap penyakit kritikal dari peringkat awal,” katanya.

Bagi pengamal perubatan, Dr Saravanan Wasu Dawan, 37,  perkhidmatan kesihatan bersepadu menerusi pelbagai program bukti Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap kebajikan dan kesihatan rakyat.

Dr Saravanan Wasu Dawan. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

“Kesinambungan polisi melalui pelaksanaan berterusan bantu ringankan beban golongan B40. Ia secara tidak langsung tingkat kualiti kesihatan agar rakyat Selangor dapat nikmati hidup yang lebih sejahtera,” katanya.

Ketua Kampung Selayang Pandang Mukim Batu, Mohd Zainoren Salim berkata insentif itu menunjukkan komitmen tinggi Kerajaan Negeri  terhadap penjagaan kesihatan rakyat.

“Perkhidmatan seumpama ini hanya ada di sini.  Selangor kini jadi model negeri lain kerana beri banyak jenis bantuan diberi kepada rakyat. Kita harapkan kecemerlangan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Dato’ Menteri Besar akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Mohd Zainoren Salim. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan belanjawan pada Jumaat berkata sejumlah RM 65.6 juta diperuntuk bagi  meneruskan pelbagai program berkaitan kesihatan awam.

Beliau berkata beberapa program kesihatan diteruskan serta ditambah baik iaitu Iltizam Selangor Sihat (ISS), Bantuan Sihat Selangor, Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor.

Program lain ialah Iltizam Selangor Sihat Penjawat Awam, Selangor Saring, Selangor Kanser, Selangor Mental Sihat, Program Anak Selangor Anak Sihat dan kempen kesedaran serta penyediaan tuala wanita percuma.


Pengarang :