Orang ramai memeriksa mata pada program Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Program saringan percuma dapat pujian, tingkat kesedaran jaga kesihatan

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 28 NOV: Hasrat Kerajaan Negeri meneruskan program saringan kesihatan percuma di semua 56 Dewan Undangan Negeri tahun hadapan mendapat pujian orang ramai.

Penyelia Tapak, Muhammad Taufik Masrupi, 33, berkata program Selangor Saring bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan kurang berkemampuan (B40) malah mendidik masyarakat tentang kepentingan penjagaan kesihatan melalui saringan awal.

“Ini adalah satu inisiatif yang sangat baik, terutama untuk keluarga B40 yang tak mampu untuk membuat pemeriksaan kesihatan tahunan.

“Saringan kesihatan sama penting dengan penjagaan kesihatan, jadi ia (program) bagus untuk beri kesedaran,” katanya.

Sementara itu, Endi Susilo Tasiron, 36, mahu kuota peserta ditambah dan program dapat diperluaskan lagi bagi memastikan lebih ramai mendapat manfaat.

“Kumpulan sasar perlu ditambah (kuota), inisiatif ini sangat bagus dan boleh diperluaskan lagi,” katanya.

Nurulsyahida Mohd Fadzil Thani, 39, pula berharap penyampaian maklumat berhubung program berkenaan dipertingkat agar lebih ramai penduduk mengetahui tarikh dan tempat penganjurannya.

“Rugilah jika peruntukan banyak, tapi ramai tidak tahu. Terutama golongan sasar seperti warga emas perlu lebih dimaklumkan tentangnya.”

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk sejumlah RM65.6 juta bagi meneruskan pelbagai program berkaitan kesihatan awam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menerusinya, pelaksanaan program Selangor Saring turut diteruskan dengan peruntukan RM1.5 juta.

Selain saringan fizikal, Selangor Saring turut menawarkan ujian darah dan air kencing, mata, barah pangkal rahim dan payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Inisiatif itu menyasarkan individu yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.


Pengarang :