Keadaan trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak. Foto Facebook LLM
AGENDANASIONAL

PRU15: Anih Berhad keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Anih Berhad hari ini mengeluarkan cadangan waktu perjalanan untuk pengguna lebuh raya laluan pantai timur, bagi tempoh 18 dan 20 November 2022, sempena pilihan raya umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

Dalam kenyataannya memaklumkan terdapat dua pilihan waktu perjalanan bagi pengguna lebuh raya dari Lembah Klang memasuki Plaza Tol Gombak, esok iaitu pilihan pertama, ke Pahang (dari 10 pagi hingga 2 petang), Terengganu dan Kelantan (6 pagi-10 pagi) manakala 12 tengah malam hingga 6 pagi bagi semua destinasi.

Sementara itu, bagi pilihan kedua, Anih Berhad mencadangkan waktu perjalanan ke Pahang dari 8 malam hingga 11 malam manakala laluan ke Terengganu dan Kelantan dari 5 petang hingga 8 malam.

Bagi perjalanan menghala ke Lembah Klang pada 20 November 2022, pengendali lebuh raya berkenaan mencadangkan jadual perjalanan dari Pahang (6 pagi-10 pagi), Terengganu (8 pagi-11 pagi), Kelantan (6 petang-8 malam) dan 12 tengah malam hingga 6 pagi bagi semua destinasi.

Selain itu, pilihan kedua bagi pengguna lebuh raya untuk masuk ke Lembah Klang dari Pahang (7 malam-10 malam), Terengganu (8 malam-10 malam) dan Kelantan (10 malam-12 tengah malam).

“Kenderaan ringan disaran mengelak daripada memasuki Plaza Tol Gombak pada waktu perjalanan bas ekspres ke Pantai Timur iaitu 9.30 pagi hingga 12 tengah hari dan 9.30 malam hingga 12 tengah malam,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, pengguna turut disaran menggunakan mod pembayaran sama ketika masuk dan keluar dari lebuh raya iaitu sekiranya menggunakan kad Touch n Go (TnG) ketika masuk lebuh raya, pengguna perlu menggunakan laluan TnG untuk membuat pembayaran keluar bagi melancarkan perjalanan.

BERNAMA


Pengarang :