Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya melakukan persiapan akhir sebelum pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Taman Maluri dibuka ketika tinjauan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PRU15: Calon HARAPAN Padang Serai disaingi lima pencabar

KULIM, 24 NOV: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai, yang ditangguhkan pengundiannya sebelum ini berikutan kematian seorang calon, menyaksikan pertembungan enam penjuru selepas proses penamaan tamat 10 pagi ini.

Saingan itu melibatkan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dr Mohamad Sofee Razak, Datuk C Sivaraajh (Barisan Nasional – BN), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional) dan Hamzah Abd Rahman (Pejuang).

Dua lagi pencabar adalah Mohd Bakhri Hashim mewakili Warisan dan calon Bebas Sreanandha Rao.

Perkara itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai Datuk Abdul Bari Abdullah pada 10.45 pagi di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech di sini hari ini.

Turut hadir adalah Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom.

Mohamad Sofee, yang baru diumumkan semalam sebagai calon HARAPAN tiba di Pusat Penamaan Calon kira-kira jam 8.30 pagi tadi, manakala semua calon lain yang telah sah dinamakan pada 5 November lepas turut hadir bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan susunan nama pada kertas undi.

Bagaimanapun, calon Warisan tidak hadir bagi proses cabutan undi itu dan ia tidak menjejaskan peluang beliau untuk bertanding memandangkan pencalonan beliau telah disahkan sebelum ini.

Proses penamaan calon bagi Parlimen Padang Serai lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini termasuk kawalan rapi pihak berkuasa.

Mohamad Sofee, 47, yang juga seorang peguam menggantikan calon HARAPAN sebelum ini, M Karupaiya, 69, yang meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan pada 16 November lalu.

Setiausaha HARAPAN Kedah itu sebelum ini juga pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil pada Pilihan Raya Umum ke-14.

SPR sebelum ini menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan pada 7 Disember dan pengundian awal pada 3 Disember berikutan kematian Karupaiya.

Pada PRU14, Karupaiya yang mewakili HARAPAN menang kerusi Parlimen itu dengan majoriti 8,813 undi menewaskan calon PAS Muhamad Sobri Osman dan calon BN Datuk Dr Leong Yong Kong.

– BERNAMA


Pengarang :