Siti Najuwa Mat Azmi, 32, mengendong bayi lelakinya berusia 40 hari untuk mengundi bagi Parlimen Padang Terap di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Naka sempena Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

PRU15: Cikgu dalam pantang dukung bayi pergi mengundi

KUALA NERANG, 19 NOV: Meskipun masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak ketiga, seorang guru tetap bersemangat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi Parlimen Padang Terap di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Naka dekat sini hari ini.

Siti Najuwa Md Azmi, 32, yang berkhidmat di sebuah sekolah di Pulau Pinang tiba di pusat pengundian tersebut pada 8.30 pagi sambil mendukung bayi lelakinya yang berusia 40 hari.

Bercakap kepada pemberita selepas mengundi, Siti Najuwa berkata beliau gembira dapat menunaikan tanggungjawab kepada negara pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Anak saya masih menyusu badan. Jadi, saya rasa mudah sekiranya saya membawanya ke pusat mengundi.

“Pada mulanya saya beratur bersama pengundi lain namun kemudian diberikan laluan mudah untuk mengundi terlebih dahulu oleh pihak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya),” katanya.

Siti Najuwa berkata selepas mengundi dia pulang ke Pulau Pinang bersama suami Muhammad Hamizi Merican bagi membolehkan suaminya pula mengundi di negeri itu.

Siti Najuwa antara 3,095 pengundi berdaftar yang mengundi di SK Naka.

– BERNAMA


Pengarang :