AGENDA NASIONAL

PRU15: Laluan ke pusat penamaan calon ditutup mulai 6 pagi esok

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Polis akan menutup beberapa laluan menuju ke Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di seluruh negara bermula 6 pagi esok sehingga proses itu selesai, bagi memastikannya berjalan lancar.

Di ibu negara, Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata polis akan melaksanakan penutupan jalan di kedua-dua hala di Jalan Sultan Azlan Shah (Jalan Ipoh), dari persimpangan lampu isyarat Jalan Perhentian ke persimpangan lampu isyarat Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata jalan yang ditutup membabitkan laluan dari arah Jalan Ampang-Lembah Jaya, iaitu bermula dari persimpangan lampu isyarat Kampung Melayu sehingga ke persimpangan lampu isyarat Bandar Baru Ampang.

“Bagi laluan dari arah Jalan Ampang-Kuala Lumpur, jalan yang akan ditutup bermula dari persimpangan lampu isyarat Bandar Baru Ampang sehingga ke susur keluar Jalan Merdeka, manakala Jalan Chengal ditutup sepenuhnya.

“Kenderaan ringan dari arah Kuala Lumpur akan dilencongkan masuk ke Jalan Merbau-Jalan Pinang-Jalan Ampang manakala kenderaan dari arah Lembah Jaya akan dilencongkan masuk ke Jalan Wawasan 4/2-Jalan Merdeka-Jalan Mewah-Jalan Cahaya 1-Jalan Besar Cahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata laluan lain yang ditutup membabitkan kedua-dua arah Jalan Pandan Ilmu-Jalan Bunga Raya bermula dari simpang masuk ke Jalan Pandan Indah 3/3 sehingga ke persimpangan lampu isyarat Jalan Bunga Raya.

Beliau berkata turut ditutup simpang keluar Jalan Kencana 1, simpang keluar dari Jalan Pandan Indah 3/6, simpang Jalan Pandan Indah 3/4, simpang di Jalan Pandan Indah 3/4d dan simpang di Jalan Pandan Indah 3/4e.

Di PUTRAJAYA, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata beberapa jalan di Presint 9 akan ditutup secara berperingkat bermula 8 pagi membabitkan Jalan Presint 9C bermula lampu isyarat Petronas 9D sehingga lampu isyarat Jalan P9C/1 (Fasa 8) dan Jalan Presint P9A bermula dari Petronas P9A hingga Jalan Presint P9C, Jalan Presint 9F bermula Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) atau Klinik Kesihatan P9 hingga Jalan Presint P9C.

Di SELANGOR, beberapa jalan kecil di sekitar pusat penamaan calon di sembilan daerah iaitu Petaling Jaya, Klang Utara, Shah Alam, Kajang, Gombak, Hulu Selangor, Ampang Jaya, Sungai Buloh dan Sabak Bernam akan ditutup serta dilencongkan bagi kelancaran trafik ketika urusan proses penamaan calon PRU15 esok.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata penutupan jalan utama hanya melibatkan dua daerah iaitu Jalan Persiaran 3, Bandar Baru Selayang dan Lorong Sekolah SMK Sg Pusu di Gombak dan Jalan Yong Shook Lin, Jalan 52/18 -Texas hingga Restoran Ajmeer dan Jalan Lebuh Bandar Utama di Petaling Jaya.

Sementara itu, NEGERI SEMBILAN beberapa jalan utama di negeri itu ditutup bagi melancarkan proses penamaan calon esok termasuk di Seremban melibatkan Jalan Yam Tuan, Jalan Lee Fong Yee/Jalan Yam Tuan dan Jalan Kuil, Jempol; Lorong Bakti Lee Motor, Masjid Lama Kuala Klawang dan Simpang tiga Telekom.

Di PERAK, Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Barudin Wariso berkata antara laluan yang ditutup ialah hadapan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Perak Tengah, simpang hadapan pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR)/ RISDA Perak Tengah, hadapan Mahkamah Syariah Perak Tengah, Kampung Gajah-Tanjung Tualang di hadapan Pejabat Daerah dan satu lorong akan ditutup di Tanah Kecil Kampung Gajah.

Selain itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata jalan yang akan ditutup dan dilencongan melibatkan Jalan Tun Razak, Jalan Raja Chulan, Jalan Kolej Melayu (MCKK), Jalan Daeng Selili, Jalan Taiping, Persiaran Bendahara, kawasan Parlimen Pasir Salak di Dewan Millenium Pejabat Daerah dan Tanah Kecil Kampung Gajah.

Di TERENGGANU, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Abdul Rahim Md Din berkata jalan daripada lampu isyarat persimpangan Batu Buruk dan Jalan Kamaruddin sehingga ke Bulatan Ladang akan ditutup di kedua-dua arah bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari esok.

Selain itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan berkata jalan T/L Hipeng iaitu susur ke Air Putih, Jalan Padang, Simpang Gong Limau, Pusingan-U KOPKEM, Jalan Dato dan Simpang Hospital ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman akan ditutup secara berperingkat bermula 6 pagi esok.

— BERNAMA


Pengarang :