Penyokong yang hadir pada program ramah mesra bersama Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon HARAPAN Sungai Buloh Datuk R Ramanan di Taman Subang Perdana pada 16 November 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRU15 medan rakyat bangkit tolak pemimpin rosakkan negara

PETALING, 16 NOV: Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) medan buat rakyat bangkit menolak kepincangan dan jenayah rasuah yang diamalkan segelintir pemimpin negara.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tindakan itu juga demi membela nasib dan menjaga kebajikan sesama rakyat.

“Jangan harap orang besar. Jangan harap orang di atas. Rakyat boleh bangkit dan memerdekakan kita.
Ini masa rakyat bangkit dan beri mesej cukuplah amalan rasuah.

“Cukuplah dengan sakau, cukuplah miskinkan rakyat. Jangan perbodohkan mereka,” katanya pada program jelajah Selangor di Parlimen Sungai Buloh hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada sesi ramah mesra bersama penyokong calon Pakatan Harapan (HARAPAN) parlimen Sungai Buloh, Datuk R Ramanan di Taman Subang Perdana pada 16 November 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Berucap di hadapan ratusan penyokong, presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu juga meminta rakyat memberi mandat kepada HARAPAN untuk mempertahan Parlimen Sungai Buloh.

Anwar turut memuji bekas penyandang kerusi itu R Sivarasa yang tetap setia kepada parti dan membantu kempen meski tidak bertanding dalam pilihan raya kali ini.

“Sungai Buloh jadi kubu lebih awal. R Sivarasa pecahkan tembok hingga jadi kubu kuat. Kita kena pertahankan sekarang,” katanya, yang juga calon HARAPAN Tambun.

“Sivarasa ini contoh. Bertanding dia setia, tidak bertanding dia setia. Namun khianat tidak sekali. Malam ini Ampang dan Gombak lawan geng (kumpulan) pengkhianat.”

 

 


Pengarang :