Mesyuarat khas urusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah diadakan di Putrajaya pada 20 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PRU15: Pengeluaran kertas undi DUN Tioman ditangguhkan

KUANTAN, 19 NOV: Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rompin Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek memaklumkan pengeluaran kertas undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N41 Tioman ditangguhkan hari ini susulan kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli awal pagi ini.

“Penangguhan hanya melibatkan DUN berkenaan sahaja manakala pemilihan bagi kawasan Parlimen Rompin akan dijalankan seperti biasa,” katanya dihubungi hari ini.

Beliau berkata kenyataan lanjut berhubung status DUN Tioman, yang terletak dalam Parlimen Rompin akan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengarah SPR Pahang Datuk Zamree Hamli pula berkata kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh SPR Putrajaya.

Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia di Hospital Rompin pada 3.30 pagi tadi.

Allahyarham daripada PAS yang juga Ketua PAS Cawangan Sungai Puteri dan Pengarah 2 Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil DUN Tioman sebelum ini pernah bertanding di DUN sama pada pilihan raya umum 2018.

Pada pilihan raya umum ke-15 DUN Tioman menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional).

– BERNAMA


Pengarang :