KAMI SUDAH MENGUNDI…Pengundi dilihat mengambil gambar jari mereka yang dicelup dakwat biru selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Taman Maluri, Kuala Lumpur bagi Parlimen P.119 Titiwangsa ketika tinjauan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PRU15: Pengundi muda berdebar, teruja pertama kali ‘celup jari’

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Keterujaan pengundi muda yang pertama kali menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan terserlah selepas ‘mencelup jari’ masing-masing di pusat mengundi di seluruh negara.

Keinginan mereka untuk melihat pemimpin pilihan berada di tampuk pentadbiran negara terbukti dengan kehadiran awal di pusat mengundi bersama rakan-rakan, adik-beradik dan ahli keluarga.

Aqilah Azreen, 18, tiba di Sekolah Kebangsaan Taman Maluri sekitar 8.37 pagi berkongsi rasa gembira kerana akhirnya berjaya melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) walaupun terpaksa meredah hujan renyai.

“Teruja sebab tidak pernah mengundi. Sebelum datang mengundi, ibu dan ayah sudah menasihati saya untuk membuat pilihan tepat dan pangkah di kertas mengundi yang disediakan dengan baik,” katanya kepada Bernama.

Pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) IPG Kampus Datuk Razali Ismail Terengganu Ahmad Izzuddin Abd Rahman, 20, yang mengundi buat kali pertama di SMK Peramu Jaya, Pekan, Pahang beratur seawal 7.30 pagi.

Hadir bersama rakan, Ahmad Izzuddin berkata sangat bangga dan lega dapat menyelesaikan tanggungjawabnya kepada negara.

“Saya harap undi saya ini akan menjadikan Malaysia ke arah yang lebih baik, insya-Allah,” katanya.

Keterujaan sama dikongsi empat beradik K Ganesh Kumar, 20, K Divya Karasi, 21, serta kakak mereka K Salini Devi, 29 dan K Sundara Darshini, 28, yang mengundi di pusat pengundian Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Jalan Ipoh di sini.

Mereka hadir bersama-sama di pusat undi berkenaan mengundi bagi Parlimen Batu.

“Saya membuat penyelidikan terlebih dahulu untuk mengetahui calon-calon bertanding bagi kawasan Batu sebelum membuat pilihan calon yang berkredibiliti dan layak. Saya harap calon dipilih dapat membantu masyarakat,” kata Divya sambil mengakui gementar apabila melihat kertas pencalonan yang panjang di Parlimen Batu.

Ganesh pula tidak dapat melelapkan mata semalam kerana tidak sabar untuk mengundi hari ini.

“Rasa saya memang lain sampai dua tiga kali saya terjaga daripada tidur melihat jam di dinding kerana tidak sabar untuk mengundi bersama kakak-kakak saya,” kata penuntut kolej swasta itu.

Seorang pengundi remaja di Parlimen Bandar Tun Razak, Muhammad Nabil Waie Wan Ghazali, 18, berkongsi debaran pertama kali mengundi berasa gembira dan teruja untuk menunaikan tanggungjawabnya di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Seri Anggerik, Cheras di sini.

“Bila sampai di pusat mengundi saya rasa berdebar juga sebab tidak tahu proses mengundi, namun bersyukur sebab ada petugas yang membantu. Selepas mengundi saya berasa lega dan bangga.

“Saya harap dengan undi saya ini dapat memilih pemimpin yang tepat demi agama, bangsa dan negara,” katanya hadir bersama ibu Noraini Hamid, 66, yang turut mengundi di pusat pengundian itu.

Berdasarkan statistik umur Daftar Pemilih setakat 9 Oktober lepas, sebanyak 1,393,549 pemilih berusia 18 hingga 20 tahun di seluruh negara akan mengundi kali pertama pada PRU15 merangkumi 16 peratus daripada 6.9 juta pengundi baharu, didaftarkan secara automatik di bawah pelaksanaan Undi18.

Ia susulan Parlimen meluluskan cadangan pindaan Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 berkaitan penurunan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pada Julai 2019.

Sementara itu, tiga beradik yang mengundi di Dewan Orang Ramai Taman Dato’ Ahmad Razali bagi Parlimen Ampang iaitu Adlina Azmi, 24, bersama dua adiknya Athirah, 22, dan Muhammad Adli, 21, senada berharap wakil rakyat yang dipilih dapat mengubah sistem pengangkutan awam negara yang berdepan beberapa masalah seperti kelewatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) pada waktu puncak.

“Saya turut berharap wakil rakyat dipilih nanti dapat membantu golongan B40 seperti kami selepas kebanyakan isi rumah terkesan dengan penularan pandemik Covid-19,” kata Adlina yang tinggal di Ampang selama lebih 20 tahun.

Keterujaan kali pertama mengundi turut dikongsi M Prakesh, 19, yang memaklumkan sebelum ini dia hanya menemani ibu dan bapanya untuk pergi ke tempat mengundi namun kini dapat merasai sendiri pengalaman untuk memilih pemimpin.

“Saya rasa beruntung ramai yang berkata bahawa PRU15 merupakan Mother of All PRU (ibu semua PRU), jadi saya rasa bangga dapat mengambil bahagian dalam PRU ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Mengundi Maktab Sultan Ismail bagi Parlimen Kota Bharu.

Turut berkongsi rasa, Noor Hayati Shafie, 25, bersama adiknya, Nur Hazirah, 22, dan sepupu, Nurul Izzah Muhd Badaruddin, 18, di Kampung Lambor, Kelantan yang datang seawal 8 pagi untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan Kampung Delima bagi Parlimen Tumpat.

“Bagi kami proses mengundi ini kita dapat menentukan pihak mana mampu memberikan banyak peluang kepada golongan muda selepas ini dan pihak yang mempunyai banyak perancangan serta berjaya melaksanakannya mungkin akan berjaya. Kami sudah membuat pilihan namun ia adalah rahsia,” kata Noor Hayati mewakili adik dan sepupunya.

Penuntut universiti Amirah Mohamed Sufian, 20, pula teruja apabila berpeluang menaiki skuter elektrik untuk melaksanakan tanggungjawab itu di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sera, Kuantan, Pahang.

Amira berkata dia hadir ke sekolah itu pada 8 pagi dan teruja apabila dihampiri seorang petugas sekolah yang memaklumkan dia boleh memilih untuk menaiki sama ada skuter elektronik, buggy, beca atau basikal sebagai medium untuk masuk ke pekarangan sekolah itu.

“Saya pilih skuter elektrik kerana nampak lebih menarik. Pengalaman saya mengundi sudah tentu berbeza daripada kawan-kawan lain walaupun kami sama-sama kali pertama keluar mengundi. Mudah juga prosesnya kerana tidak sampai setengah jam saya sudah selesai mengundi.

“Tapi paling seronok, sambil menunaikan tanggungjawab, saya juga menyokong kempen alam sekitar yang dijalankan di sini,” katanya semasa ditemui di pekarangan sekolah itu selepas mengundi.

– BERNAMA


Pengarang :