Datuk Seri Hazani Ghazali. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PRU15: Polis buka tiga kertas siasatan, tahan dua individu

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah buka tiga kertas siasatan serta menahan dua individu, masing-masing satu di Kedah dan Pahang, di atas pelbagai kesalahan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam, kata Pengarah Operasi PRU15 PDRM Datuk Seri Hazani Ghazali.

Beliau berkata satu kertas siasatan dibuka di Kedah mengikut Seksyen 4(A)(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 kerana mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) kerana kianat dan Seksyen 435 KK kerana khianat dengan api.

Satu kertas siasatan dibuka di Pahang mengikut Seksyen 427 KK kerana khianat, dan satu lagi di Kuala Lumpur mengikut Seksyen 505 (b) KK kerana mendatangkan kegusaran awam, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Hazani yang Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dalam satu kenyataan hari ini berkata PDRM juga mengesan 81 ceramah PRU15 tidak memiliki permit.

“Negeri Sembilan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 45 kes, Perak (16), Pahang dan Johor masing-masing mempunyai lima, Kedah (empat), Terengganu (dua), Sarawak (dua), Kuala Lumpur dan Selangor mempunyai satu,” katanya.

Beliau berkata PDRM telah mengeluarkan sebanyak 814 permit ceramah, dengan jumlah tertinggi permit dikeluarkan ialah di Sabah iaitu 157 permit, diikuti Perak sebanyak 109 permit dan Johor 104 permit.

“Permit yang dikeluarkan di Kedah pula sebanyak 84 permit, Sarawak (77), Pahang (70), Pulau Pinang (49), Negeri Sembilan (44), Melaka (43), Selangor (40), Kuala Lumpur (12), Kelantan (11), Perlis (sembilan) dan Terengganu (lima)”, katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU15 manakala pengundian awal pada 15 November.

– BERNAMA


Pengarang :