Penduduk menaiki bot untuk ke pusat pengundian bagi melaksanakan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kampung Tersang, Rantau Panjang pada 19 November 2022. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

PRU15: Sekeluarga naik bot keluar mengundi, rumah dilanda banjir

PASIR MAS, 19 NOV: Dengan kawasan rumah masih digenangi air setelah dilanda banjir termenung sejak seminggu lepas, Nur Shafika Rosmadi bersama empat ahli keluarganya hari ini meredah banjir sejauh 500 meter menggunakan bot untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Turut bersama Nur Shafika, 18, menaiki bot berkenaan ialah neneknya berusia 70 tahun yang sedang sakit tua, bapanya berusia 49 tahun yang mengalami strok, ibu serta abangnya.

Tiba di jalan utama, keluarga itu menaiki kereta mereka yang ditinggalkan di bahu jalan kerana tidak boleh memasuki kawasan rumah mereka di Kampung Tersang, Rantau Panjang akibat banjir termenung itu untuk ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Periok bagi Parlimen Rantau Panjang.

“Ini pilihan raya pertama saya dan walaupun berdepan banjir saya tetap bersemangat untuk keluar mengundi.

“Pastinya pengalaman ini tidak akan saya lupakan malah mengundi dalam situasi banjir turut menjadi pengalaman pertama buat ahli keluarga lain,” katanya ketika ditemui di Kampung Tersang hari ini.

Pelajar Kolej Komuniti Jeli itu berkata banjir bukan alasan untuk keluarganya dan penduduk kampung tersebut untuk tidak keluar mengundi.

“Hari ini adalah peluang kami untuk buat pilihan wakil rakyat yang boleh membantu kami terutamanya untuk menyelesaikan masalah banjir termenung yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, rata-rata penduduk Kampung Tersang sudah keluar mengundi di sebelah pagi hari ini menggunakan bot sendiri untuk meredah banjir separas dada orang dewasa.

– BERNAMA


Pengarang :