Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di hadapan ratusan penduduk ketika ceramah umum di Pekan Banting, Kuala Langat pada 15 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rakyat diseru bangkit bersama HARAPAN selamatkan negara, hapuskan rasuah

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

KUALA LANGAT, 15 NOV: Rakyat diseru bangkit menyelamatkan negara daripada jenayah rasuah dengan memberi mandat kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pilihan raya umum Sabtu ini.

Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rasuah yang sudah menjadi duri dalam daging buat negara perlu dihapuskan serta-merta demi kesejahteraan semua pihak.

“Perubahan boleh berlaku bila rakyat bantu hentikan semua ini. Masalah negara ini masalah sakau. Kita kena hentikan. Minta rakyat Kuala Langat selamatkan negara dari kaki sakau.

“Kalau saya ketua, saya tak bagi peluang pada kaki sakau. Wang itu wang rakyat pulang balik pada rakyat, (gunakan untuk) selesai masalah rakyat,” katanya.

Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama calon HARAPAN Parlimen Kuala Langat Manivanan Gowin ketika ceramah umum di Pekan Banting, Kuala Langat pada 15 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Berucap dalam ceramah meganya di Kuala Langat hari ini Anwar menyeru penduduk parlimen itu memenangkan calon HARAPAN Manivanan Gowin sekali gus membantu gabungan itu kembali menerajui Putrajaya.

“Bagaimana nak bawa perubahan, hentikan semua ini. Turunkan gaji menteri, tumpu kepada ekonomi dengan panggil pelabur luar melabur dalam Malaysia.

“Kalau Kuala Langat menang, Sungai Besar Menang, Kuala Selangor menang, maknanya jalan kita lebih lurus untuk sampai ke Putrajaya,” katanya.

Dalam pilihan raya kali ini, Manivanan melawan Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Ahmad Ahmad Yunus Hairi (Perikatan Nasional) dalam saingan enam penjuru.

Semalam, Anwar meneruskan jelajah sama ke sembilan parlimen di Perak termasuk beberapa kubu kuat Barisan Nasional sebelum berakhir di Parlimen Tambun.

Anwar turut dijadual menghadiri Grand Finale Jelajah Mega HARAPAN di Dewan Serbaguna AU 2 (sebelah Padang MPAJ AU2 Taman Keramat) jam 8 malam esok.


Pengarang :