Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melakukan gimik pelancaran Skim Insurans Am Selangor (INSAN) sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto REMY ARIIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rakyat teruja HARAPAN mahu perluas insurans percuma ke seluruh negara

SHAH ALAM, 16 NOV: Penduduk Sungai Buloh menyokong hasrat Pakatan Harapan (HARAPAN) memperluas Skim Insurans Am Selangor (INSAN) ke seluruh negara jika menang pilihan raya umum ke-15.

Skim itu, yang dikhaskan untuk enam juta warga Selangor menawarkan perlindungan insurans secara percuma sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian akibat kemalangan.

Kakitangan swasta Aishah Shahrum, 31, berkata ramai individu tidak mempunyai perlindungan berikutan masalah kewangan, sekali gus menyukarkan mereka jika berlaku kemalangan atau musibah.

“Memang wajar jika INSAN dilaksanakan untuk seluruh masyarakat. Saya sendiri memanfaatkan skim disediakan Kerajaan Negeri selepas ia dibuka bulan lalu.

“Ini usaha yang bagus. Berdasarkan pengalaman saya, cara memohon juga mudah. Nanti bila mahu laksana ke semua negeri, harap proses permohonan dikekalkan bagi memudahkan penduduk,” katanya.

Pekerja kilang Haikal Abdul Rahim, 26, pula meminta skim percuma itu diperluas segera ke seluruh negara bagi memastikan kebajikan masyarakat terbela.

“Saya akui insurans memang penting tetapi kena faham ada penduduk yang tidak mampu. Kami lebih utamakan keperluan lain dari bayar insurans walaupun tahu ia penting,” katanya.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Melayu Subang berkata skim seumpama itu menjamin penduduk mendapat rawatan kesihatan serta perubatan lebih baik.

Mohd Salim Abdul Rahman

“Senang bila ada insurans, boleh dapat rawatan cepat. Nak harap duit sendiri bayar memang susah sebab kita tiada duit lebih. Jadi, bila luaskan INSAN memang beri jaminan kepada semua keluarga.

“Kalau buat seluruh negara akan ringankan beban masyarakat terutama golongan berpendapatan rendah,” kata Mohd Salim Abdul Rahman.

Sebelum ini, Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dasar dan polisi negeri termasuk INSAN akan diamalkan gabungan itu jika berjaya mentadbir Putrajaya.

Skim itu boleh didaftar menerusi aplikasi e-dompet Wavpay yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play. Maklumat lanjut pula boleh diperoleh melalui pautan www.wavpay.net.


Pengarang :