Pengundi muda, Fatin Norfidiyana Rostam, 19, ketika mengundi bagi Dewan Undangan Negeri Larkin pada Pilihan Raya Negeri Johor di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan 1 Larkin, Johor Bahru pada 12 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ramai pengundi muda masih samar, keluarga jadi panduan pilih calon

OLEH FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 11 NOV: Meskipun teruja kali pertama dapat mengundi namun ramai anak muda masih samar mengenai suasana politik negara dan akan mengikut keluarga memilih calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Berdasarkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan diluluskan tahun lepas, usia layak mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun serta pendaftaran pemilih secara automatik.

Bagaimanapun, rata-rata anak muda yang ditemui di pekan Sekinchan mengakui kurang pengetahuan berhubung kuasa dan politik dalam memilih kerajaan ekoran kejutan daripada pindaan Undi18 tersebut.

“Saya rasa macam biasa tapi sedikit teruja dapat peluang mengundi. Namun saya tak pasti siapa atau parti mana yang akan diundi.

Sharifah Nadirah Ismail. Foto NUR ADIBAH AHMADIZAM/SELANGORKINI

“Mungkin saya akan ikut pilihan keluarga untuk memberi undi saya,” kata jurujual Sharifah Nadirah Ismail, 20.

Rakan sekerjanya Siti Norizati Ismail, 20, turut bersependapat tentang cara membuat pilihan namun akan melihat calon yang lebih mesra dengan menemui penduduk.

“Ikutkan saya ada membaca sedikit mengenai calon bertanding di Parlimen Sungai Besar dan dapat melihat sendiri calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Saipolyazan M Yusop masuk ke kedai barangan RM2 tempat kami bekerja,” katanya.

Seorang penghantar makanan Anas Rumaizi, 19, memberitahu dia sendiri telah membuat kajian tentang kesemua empat calon yang akan bertanding di Parlimen Sungai Besar menerusi media sosial.

Anas Rumaizi. Foto NUR ADIBAH AHMADIZAM/SELANGORKINI

“Maka pilihan saya akan berdasarkan apa yang setiap calon bawa dan tonjolkan. Saya tidak sabar untuk mengundi pada 19 November ini,” ujarnya.

Menurut statistik terbaru Pejabat Pilihan Raya Selangor, pemilih layak mengundi pada PRU15 di negeri ini seramai 3,677,848 berbanding 2,415,074 pada pilihan raya umum sebelum ini.

Pengundi dewasa berusia 21-59 tahun adalah pemilih tertinggi iaitu 2,805,596 orang atau 76.29 peratus, warga emas berumur 60 tahun ke atas (598,549) manakala belia dari 18 hingga 20 tahun pula kira-kira 273,703 pengundi atau 7.44 peratus.

Dari segi pecahan pengundi, jumlah pengundi biasa adalah seramai 3,652,790, pengundi awal bagi tentera (7,468), polis (16,779) serta pengundi tidak hadir (PTH) luar negara sebanyak 811.

Peningkatan bilangan pengundi diwartakan pada 25 September lepas antaranya didorong oleh pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik.


Pengarang :