EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor ke-14 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 23 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ramalan kemarau: Negeri rancang awal urus sumber air, naik taraf kolam takungan

SHAH ALAM, 23 NOV: Sebanyak 21 kolam dinaik taraf sebagai persediaan awal negeri menghadapi kemarau berpanjangan yang diramal berlaku pada 2025, kata EXCO infrastruktur dan kemudahan awam.

Ir Izham Hashim berkata inisiatif di bawah Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) itu akan meningkatkan kapasiti kolam yang dijangka mampu menyediakan tambahan bekalan air selama dua bulan.

“Kolam berkenaan akan dinaik taraf dengan infrastruktur tambahan mengikut jangkaan kapasiti sekarang iaitu 14 juta meter padu kepada 21 juta meter padu.

“Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mewartakan 20 kolam bekas lombong dan mengenal pasti 78 kolam tambahan. Daripada 98 kolam ini, Kerajaan Negeri meluluskan 21 kolam untuk dinaik taraf di bawah SJAM.

“Selain itu, 127 kolam takungan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedia ada akan dinilai jika boleh bertindak dwifungsi iaitu sebagai takungan banjir dan sumber air alternatif ketika musim kemarau,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berhubung pelan tindakan Kerajaan Negeri menghadapi kemarau berpanjangan yang dijangka pada 2025.

Dalam pada itu, Ir Izham berkata JPS membangunkan laman sesawang info kemarau http://infokemarau.water.gov.my yang memaparkan status semasa aras empangan, kadar luahan dan hujan bagi stesen hidrologi seluruh negara.

Menurutnya, maklumat berkaitan digunakan wartawan untuk melaporkan status empangan dalam akhbar tempatan termasuk pelbagai agensi.

“JPS sedang dalam rangka menyediakan pelan tindakan bencana kemarau yang merangkumi tatacara operasi piawai (SOP) lengkap sebelum, semasa dan selepas kemarau,” katanya lagi.


Pengarang :