BUDAYARENCANA

Ranjau sepanjang Jalan Tun Razak

Oleh Asyraf Bakti

Pecah lobang, lobang pecah. Itu dua asas yang mengubah algoritma perasaannya dan semuanya jadi serba tak kena sepanjang dia membonceng kapcai yang dilorikan dari kampung. Kalaulah dia masih berada di kampung sekarang, sudah pasti dia tak perlu menghadap sesak pekat yang tak ada tarikh untuk cair. Tepat-tepat semasa dia mengelak lubang di pusingan bulatan Jalan Pahang, dia dapat rasa tayarnya berubah dan kurang angin perlahan-lahan. Sudah dia ragui dan dapat tahu harinya akan jadi sangat ranjau bila dia dah mula terpijak tahi kucing semasa dia keluar rumah dan semua cuci-cuci taik yang dia selet di atas rumput basah dengan air subuh mungkin memberi hukum karma kepadanya untuk tidak merosakkan alam sekitar.

Pagi sebelum tayar buat perangai, dia sebenarnya dah dapat mesej dari bos; katanya tak payah masuk kerja. Dibuang terus atas alasan tak masuk akal sebenarnya. Muka segak, tapi mulut berbau petai. Tak masuk akal juga cara kena buang tapi memang dia dah sedar lama yang dia akan dibuang kerana sikap dia yang suka menentang. Dalam tempoh percubaan, memang dia tahu dia kena berakhlak baik, tapi anak kampung macam dia suka selesaikan sesuatu dengan terajang. Tapi, dia bercadang untuk teruskan juga pergi ke tempat kerja selepas selesai semua hal untuk hantar tag nama dan terajang mana yang patut.

Selalunya dia akan ikut Jalan MRR2 sahaja untuk pergi ke tempat pembuangan kerjanya itu, tapi atas sebab teman wanitanya ajak berjumpa di Balai Seni Negara dahulu atas kata urusan penting, dia turutkan saja. Dengan tayar yang gelong, dia cuba konar perlahan-lahan masuk ke dalam perkarangan Balai Seni. Hujan rintik-rintik dan menyesal pula tidak memakai baju warna hitam dan gerimis yang turun tepat ke baju warna bogel, seolah-olah mencacatkan penampilan dan membawa imej demam campak. Sekilas redha selepas melihat di mana dia berpijak, dia biarkan saja Tuhan ‘memberus’ air hujan ke atas kanvas lembut badannya.

Biar teman wanitanya yang memang gila seni menghargai pengorbanan dirinya atas nama seni bila dia menjawab, “Saja saya biarkan seni dari Tuhan mengakupunturkan diri saya.” Tidakkah jawapan itu layak menerima genggaman tangan paling timbul urat?

Dia tunggu teman wanitanya di bawah pondok yang ada. Dia tak nak masuk ke dalam Balai. Biarlah hujan yang nampaknya semakin lebat itu jadikan perbualan mereka berdua nanti lebih memerlukan fokus untuk bercakap. Perlu bercakap lebih lantang juga satu ritual seksi apabila dia dapat melihat mulut teman wanitanya terbuka lebih luas dan menjerit-jerit manja ke telinganya walaupun untuk satu patah kata. Sambil menunggu teman wanitanya sampai, dia cuba-cuba periksa internet untuk kerja kosong yang kena dengan seleranya. Adakalanya dia teringin juga untuk menjadi nomad digital, tapi melihat kepada kelayakan yang ada, lebih sesuai kepada kerusi pejabat digital jugalah hendaknya. Dia tarik nafas dan teman wanitanya pun nampak berpayung datang ke arahnya. 50 meter yang ada, dia cuba membaca riak wajah yang ada tentang makna urusan penting yang ingin dibicarakan. Kalau mengikut perbendaharaan pengalaman yang ada, teman wanitanya mungkin akan minta putus atas sebab dua hari lepas ketika mereka membincangkan tentang tema parti hari jadi teman wanitanya.

Ketika dia berkeras cadangkan merah putih, teman wanitanya lembut keras lembut keras untuk tema hijau putih. Katanya lebih punya semangat vegetarian alam persekitaran. Kalau sebab itu hendak diminta putus, agak tadika juga sebenarnya cerita cinta mereka ini. Teman wanita dah sampai di depannya. Sambil menutup payung dan mengetuk-ngetuk air payung jatuh ke simen, dapat dia rasakan ranjau yang akan berlaku. Tapi perempuan tidak pernah tidak misteri. Teman wanitanya duduk sambil menghirup kopi yang hampir suam dihembus angin hujan. Dia tunggu saja sambil senyum kerang kepada teman wanitanya yang dia hanya jumpa pada hujung minggu sahaja. Tanpa berdolak dalih berbasa basi, teman wanitanya buka silat pulut dengan buah pukul paling keras.

“Ada rombongan datang merisik pagi tadi dekat kampung.”

“Keluarga awak terima ke?”

“Terima.”

Sangat bajingan jawapan yang diterima. Dia telan air liur perlahan-lahan dan teman wanitanya minta diri dulu tanpa assalamualaikum ataupun sayonara. Dia hanya angguk-angguk dan biarkan episod ranjau yang berlaku tadi berlalu macam air hujan mengalir ke dalam longkang. Dia buka telefon dan lihat kawan sekerjanya muat naik satu status di dalam aplikasi Asap gambar-gambar dia berada di kampung menemani seseorang yang dia kenal; bos yang membuangnya sedang berada di depan rumah bekas teman wanitanya (10 minit). Segala jawapan sudah terjawab dan dia hanya tutup balik telefon dan berjalan dalam hujan menuju ke motor yang tayar anginnya hanya tinggal 50 peratus sahaja.

Dia pandang awan yang dikepul Tuhan dan turunkan air mata secara perlahan-lahan. Dia tak jadi pergi ofis untuk serahkan tag nama sebaliknya keluar dari Balai Seni dan pergi ke Taman Tasik Titiwangsa. Sesampainya di sana, dalam 3 minit pulas motor, dia pandang saja tasik yang ada. Hujan-hujan begini memang tiada orang dan dia dengan selamba buka semua seluar baju dan berenang perlahan-lahan, terapung di tepian. Hatinya, otaknya semua berat dipenuhi kekosongan, tetapi dia tetap tidak boleh tenggelam untuk cipta ranjau yang seterusnya kerana dia tahu berenang. Memang ranjau.


Pengarang :