Pengguna perkhidmatan LRT yang terkandas di Stesen Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) selepas perkhidmatan antara laluan stesen Kelana Jaya dan KLCC dilaporkan mengalami masalah teknikal ketika tinjauan pada 8 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rapid Rail beri pampasan tiket tujuh hari kepada pengguna LRT terjejas

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) hari ini memperincikan pampasan tiket selama tujuh hari kepada pengguna perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang terjejas, susulan penggantungan operasi di 16 stesen LRT dari Kelana Jaya hingga Ampang Park.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Mohd Azharuddin Mat Sah dalam kenyataan hari ini memaklumkan bagi pengguna My50, mereka akan diberikan tambahan perjalanan percuma selama tujuh hari apabila memperbaharui pas setelah tamat tempoh.

Beliau berkata pembaharuan pas boleh dilakukan bermula 21 November hingga 20 Disember ini di pejabat khidmat pelanggan di stesen LRT, Transit Aliran Massa (MRT), Monorel dan Transit Aliran Bas (BRT) dan pegawai khidmat pelanggan akan membuat pengesahan.

“Bagi pelanggan pas My50 yang tamat tempoh di antara Isnin iaitu 14 Nov hingga Ahad, 20 Nov 2022, boleh menggunakan pas seperti biasa tanpa sebarang caj dan pastikan mempunyai baki sekurang-kurangnya RM5,” katanya.

Hari ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengumumkan LRT laluan Kelana Jaya akan kembali beroperasi sepenuhnya pada 6 pagi esok, dua hari lebih awal daripada jangkaan selain memaklumkan pengguna yang terjejas, pampasan tiket selama tujuh hari akan diberikan meskipun pemberhentian perkhidmatan adalah lima hari.

Mohd Azharuddin berkata selain itu, pengguna kad Touch ‘n Go yang menggunakan perkhidmatan laluan Kelana Jaya juga boleh menggunakan kad dengan baki minimum RM5 seperti biasa tanpa sebarang caj di antara Isnin (14 Nov) sehingga 20 Nov dengan syarat destinasi mula atau akhir adalah di mana-mana stesen laluan Kelana Jaya.

Tambang percuma juga turut diberikan kepada pengguna token yang menggunakan perkhidmatan laluan Kelana Jaya dari Isnin (14 Nov) sehingga 20 Nov dan pengguna perlu ke pejabat khidmat pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT untuk mendapatkan token khas perjalanan sehala, dengan syarat destinasi mula atau akhir adalah di mana-mana stesen laluan Kelana Jaya.

“Prasarana dan Rapid Rail sekali lagi memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia, yang terkesan akibat gangguan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya. Segala usaha akan diambil bagi memastikan gangguan seumpama ini tidak akan berulang,” katanya.

Sebelum ini, Prasarana mengumumkan operasi di 16 stesen LRT dari Kelana Jaya hingga Ampang Park digantung bermula 9 hingga 15 Nov, susulan perkhidmatan yang didapati tidak stabil. – BERNAMA


Pengarang :