Petugas Prasekolah Khas Anak Istimewa Selangor (AnIS) membimbing kanak-kanak berkeperluan khas mewarna ketika tinjauan di pusat berkenaan di Seksyen 7, Shah Alam pada 6 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rawatan AnIS diperluas ke hospital pakar demi anak-anak istimewa

OLEH AZIAN AZIZ

GOMBAK, 27 NOV: Inisiatif memperluaskan rawatan untuk Anak Istimewa Selangor (AnIS) kepada rawatan di hospital pakar melegakan ibu bapa khususnya yang mempunyai anak istimewa.

Tenaga pengajar sukarelawan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Taman Sri Gombak, Zainab Abd Karim, 46, berkata rawatan pakar dapat membantu merawat anak istimewa dengan lebih baik.

“Jika dapat bantuan pakar, rawatan anak-anak istimewa berpenyakit seperti anak saya berusia lima tahun yang menghidap hidrosefalus (berkepala besar) serta sindrom down akan lebih baik.

“Kad Iltizam AnIS (Kad AnIS) pula memudahkan urusan untuk dapatkan bantuan dengan hanya menggunakan satu kad saja, ia sangat membantu,” katanya.

Zainab Abd Karim

Ibu tunggal, Zainun Yusuf, 66, yang mempunyai anak lelaki autisme berusia 21 tahun berkata belanja perubatan untuk anaknya dapat dikurangkan jika terpilih menerima bantuan AnIS dan Kad AnIS.

“Saya dan anak bergantung dengan pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) arwah suami sejak 22 tahun lalu.

“Saya harap dapat mohon bantuan AnIS dan Kad AnIS sekali gus meringankan kos rawatan dan perbelanjaan anak saya,” katanya dari Kampung Nakhoda Kiri.

Zainun Yusof

Pesara guru, Normala Baharom, 58, dari Batu Caves juga mempunyai anak autisme berusia 20 tahun bersyukur kerana Kerajaan Negeri tidak melupakan hak anak-anak istimewa.

“Anak-anak istimewa juga rakyat Selangor dan saya gembira Kerajaan Negeri tidak melupakan mereka.

“Saya harap anak saya yang memerlukan rawatan susulan penyakit usus di luar dan masalah telinga serta semua anak-anak istimewa lain berpeluang menerima rawatan dan bantuan ini,” katanya.

Normala Baharom

Dato’ Menteri Besar dalam Pembentangan Belanjawan 2023 Jumaat lepas mengumumkan bantuan AnIS akan dikembangkan dengan menawarkan tambahan manfaat berupa rawatan perubatan di hospital pakar.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut memberitahu Kad AnIS akan diperkenalkan bagi memudahkan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa mendapatkan akses kepada semua jenis bantuan dalam satu kad.


Pengarang :