Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berarak bersama penyokong ke pusat penamaan calon bagi Parlimen Tambun di Dewan Sri Kledang Institut Latihan Perindustrian Meru pada 5 November 2022. Foto Twitter Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Reaksi PM baharu: Kerajaan perpaduan demi kestabilan, kemakmuran negara

SHAH ALAM, 24 NOV: Debaran siapakah perdana menteri Malaysia ke-10 berakhir hari ini apabila Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengumuman itu dibuat setelah kebanyakan gabungan bersetuju membentuk kerajaan perpaduan susulan tiada parti atau gabungan meraih majoriti mudah dalam pilihan raya umum lalu.

Bursa Malaysia turut dilaporkan meningkat petang ini susulan keadaan politik tidak menentu sudah berakhir dengan pelantikan kerajaan baharu. Berikut reaksi beberapa pemimpin:

  • Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari

Syukur alhamdulillah kemenangan rakyat Malaysia. Tahniah YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke 10. Tahniah rakyat Malaysia yang merealisasikan perubahan ini. Semoga bumi Malaysia dirahmati, dilindungi dan diberkati Allah SWT.

  • Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
Sejarah sedang tercipta di Istana Negara hari ini. Kerajaan Perpaduan demi kestabilan dan kemakmuran Malaysia. Kita doakan masa depan lebih gemilang untuk rakyat semua.

  • Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Rafizi Ramli

Kita semua perlu bergerak ke hadapan dan belajar bekerjasama untuk membina kembali Malaysia, demi masa depan dan kemakmuran setiap rakyat dari semua kumpulan, kaum, negeri dan latar belakang.

  • Pengerusi DAP Lim Guan Eng

Marilah kita bersatu bersama Anwar untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan memastikan kemajuan ekonomi untuk semua.

  • Presiden Amanah Mohamad Sabu

Alhamdulillah tahniah Dato Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri Malaysia yang ke-10

  • Bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik

Tahniah Datuk Seri Anwar Ibrahim atas perlantikan, semoga Datuk Seri akan mengangkat kembali Malaysia ke persada dunia dan mengangkat pendidikan.

  • Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng

Terlalu gembira buat saat ini. Kepada penyokong-penyokong Pakatan Harapan, kemenangan ini adalah untuk kalian. Kematangan demokrasi yang kita lihat ini akan menjadikan Malaysia lebih maju, dan semoga rakyat Malaysia celik dan cakna dengan keadaan politik semasa.

  • Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir

Alhamdulillah syukur sangat. Hari ini mengajar bahawa kita akhirnya boleh berjaya dengan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh, bersabar hadapi segala dugaan dengan kekal berprinsip. Selebihnya adalah ketetapan Allah.

  • Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman

Saya gembira. Setelah sekian lama DS Anwar Ibrahim menghadapi onak dan duri, akhirnya pengorbanan beliau membuahkan hasil. Saya tidak sabar untuk bersama-sama beliau di Dewan Rakyat menggubal polisi dan mengadakan reformasi demi rakyat Malaysia tercinta.

 

 

 

 


Pengarang :