Petugas media menghadiri taklimat pilihan raya umum ke-15 oleh Timbalan Pengarah Akademi Pilihan Raya SPR Norlinah Jamman di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 31 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rekod 3.67 juta pemilih berdaftar, Selangor paling ramai pengundi

SHAH ALAM, 1 NOV: Jumlah pengundi berdaftar di negeri ini meningkat 52.28 peratus, sekali gus menjadikan Selangor memiliki bilangan pemilih berdaftar tertinggi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengarah Pejabat Pilihan Raya Selangor Kamarul Azman Ahmad Sabri berkata peningkatan sebanyak 1,262,774 itu menjadikan pemilih yang layak mengundi pada PRU15 di negeri ini seramai 3,677,848 berbanding 2,415,074 pada pilihan raya umum sebelum ini.

“Peningkatan bilangan pengundi yang diwartakan pada 25 September lepas itu antaranya didorong oleh pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik,” katanya kepada pemberita selepas Taklimat Pilihan Raya Petugas Media Menghadapi PRU15 di sini hari ini.

Beliau berkata dari segi pecahan pengundi, jumlah pengundi biasa adalah seramai 3,652,790, pengundi awal bagi tentera (7,468), polis (16,779) serta pengundi tidak hadir (PTH) luar negara sebanyak 811.

Dari segi statistik umur, katanya, pengundi dewasa berusia 21-59 tahun adalah pemilih tertinggi iaitu 2,805,596 orang atau 76.29 peratus, warga emas yang berumur 60 tahun ke atas (598,549), manakala belia dari 18 hingga 20 tahun pula kira-kira 273,703 pengundi atau 7.44 peratus.

Kamarul Azman berkata sebanyak 56,707 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilantik bagi menguruskan proses pengundian PRU15, lebih tinggi berbanding jumlah petugas pada PRU14 iaitu seramai 35,000.

Sebanyak 974 pusat mengundi telah diwartakan melibatkan 51 pusat mengundi awal dan 923 pusat mengundi biasa, katanya.

Pada PRU15, empat pusat mengundi akan ditutup awal yang beroperasi bermula 8 pagi hingga 2 petang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Cempaka di Parlimen Sabak Bernam, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Bukit Ijok (Parlimen Kuala Selangor), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Fraser (Parlimen Hulu Selangor) dan Balai Raya Lubuk Jaya di Parlimen Tanjong Karang.

Empat pusat mengundi yang beroperasi mulai 8 pagi hingga 4 petang pula ialah SJKT Ladang Sabak Bernam di Parlimen Sabak Bernam, SJKT Ladang Mary dan SK Seri Gambut Tanjong Karang (Parlimen Tanjong Karang) serta SJKT Selangor River di Parlimen Kuala Selangor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November, penamaan calon (5 November) dan pengundian awal pada 15 November.

-BERNAMA


Pengarang :