Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengangkat tangan calon Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari ketika Jelajah Mega HARAPAN Selangor di Dewan Serbaguna AU2, Ampang Jaya pada 16 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ribuan sanggup berhujan, azam tebus khianat Azmin

Oleh Amin Ridzuan Ishak dan Zareef Muzammil

AMPANG JAYA, 17 NOV: Ribuan rakyat pelbagai kaum dan umur hadir ke ceramah Grand Finale Jelajah Mega Pakatan Harapan (HARAPAN) di AU2 Taman Keramat, di sini malam tadi yang menjadi sebahagian Parlimen Gombak

Hadir seawal jam 7 malam, mereka tidak berganjak memenuhi pekarangan Dewan Serbaguna MPAJ AU2 walaupun hujan, malah ada yang berpayung di padang berhampiran mendengar ucapan pimpinan utama gabungan itu.

Laungan ‘reformasi’ dan ‘kita boleh’ yang sentiasa bergema menambah kehangatan suasana di sebalik cuaca sejuk sepanjang ceramah termasuk oleh Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari.

Mesej menentang pengkhianat menjadi topik utama, merujuk kepada penyandang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mengalih sokongan hingga mengakibatkan kerajaan HARAPAN di Putrajaya tumbang.

“Orang Gombak panas malam ini (walaupun) hujan tetapi pendirian tidak goyang, saya memang pilih datang ke Gombak untuk mengajar pengkhianat ditendang dari Gombak,” kata Anwar sambil mendapat sorakan gemuruh daripada hadirin yang majoritinya pengundi parlimen itu.

Ribuan penduduk hadir mendengar amanat pimpinan utama Pakatan Harapan (HARAPAN) di AU2, Ampang Jaya pada 16 November 2022. Foto Facebook Amirudin Shari

Bagi Amirudin yang juga calon nombor dua dalam kertas undi, orang ramai yang tidak berganjak walaupun hujan mengingatkan suasana di kawasan sama pada 2018 apabila rakyat berhimpun untuk menumbangkan BN.

“Di padang inilah ribuan rakyat di saat hujan menyatakan sokongan kepada HARAPAN dan cipta sejarah menumbangkan kleptokrat Umno dan BN. Saya tabik dan terima kasih rakyat Gombak dan Malaysia.

“Tetapi orang dipilih tidak menghargai usaha anda berhujan. Insya-Allah calon HARAPAN ini tidak akan lupa pengorbanan semua,” katanya mengakhiri ucapan dengan ungkapan ‘Gombak Is Red’ (Gombak bertukar merah) merujuk kepada warna HARAPAN.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu turut menyentuh isu pengkhianat dan memberi jaminan tindakan menjatuhkan kerajaan seperti Langkah Sheraton tidak akan berulang apabila Akta Anti Lompat Parti berkuat kuasa.

“Tiga hari lagi bermulalah kehidupan baharu rakyat Malaysia. (Rakyat) akan hidup di bawah pemerintahan baharu (HARAPAN), insya-Allah (kerana) Akta Anti Lompat Parti menamatkan usaha pengkhianat,” ujarnya.

Ribuan penduduk hadir mendengar amanat pimpinan utama Pakatan Harapan (HARAPAN) di AU2, Ampang Jaya pada 16 November 2022. Foto Facebook Amirudin Shari

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook pula membawa mesej pentingnya kepada rakyat menjadikan pilihan raya umum kali ini untuk menghapuskan politik perkauman yang dicanang lawan dengan menggambarkan Islam diancam parti itu.

“Jadi gunakan semangat malam ini dan PRU15 untuk kita pecahkan politik perkauman seterusnya menaikkan kerajaan HARAPAN di bawah Anwar Ibrahim. Satu undi untuk HARAPAN, satu undi untuk Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri,” katanya.

Turut senada dengannya Ahli Jawatankuasa (AJK) Amanah Mohd Sany Hamzan yang membidas PAS kerana sering kali menyalahkan DAP dalam pelbagai isu.

“DAP DAP DAP. Itu sahaja ‘zikir’ orang PAS sekarang ini. Tak boleh makan DAP, tak boleh minum DAP,” kata calon HARAPAN Hulu Langat itu.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Mohd Fahmi Fadzil pula menggesa pengundi terutama anak muda turun mengundi pada 19 November ini untuk mengubah keadaan negara dan menamatkan riwayat politik pengkhianat.

“Apabila jumpa kawan tanya mereka mengundi di sekolah mana. Kalau mereka tidak tahu, bantu dan kenal pasti sekolah mana melalui laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya.

Ceramah itu turut menampilkan Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo, Naib Presiden KEADILAN Nik Nazmi Nik Ahmad, Presiden Parti Ikatan Demokratik (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan wakil rakyat Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin.

Hujan tidak menghalang penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) hadir mendengar amanat pimpinan HARAPAN ketika Jelajah Mega HARAPAN Selangor di Dewan Serbaguna AU2, Ampang Jaya pada 16 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :