Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) melawat reruai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan beramah mesra bersama penunggang e-panggilan selepas merasmikan Karnival Penggerak Belia Selangor di Sri Gombak, Gombak pada 13 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

‘Rider’ hargai usaha Amirudin sedia pusat rehat, cadang bina ikut zon

GOMBAK, 14 NOV: Penghantar makanan atau barangan bermotosikal (e-panggilan) menghargai hasrat Dato’ Seri Amirudin Shari menyediakan pusat rehat bagi pekerja itu di Parlimen Gombak.

Menyambut baik tawaran calon Pakatan Harapan (HARAPAN) itu, penghantar makanan Syariful Akmal Kamaruzaman, 36, mencadangkan premis terbabit ditempatkan di lokasi strategik mengikut zon.

Syariful Akmal Kamaruzaman

“Bagus juga kalau ada tempat berehat sementara tunggu pesanan masuk. Sekarang kami rehat merata-rata contohnya sekitar Stadium Majlis Perbandaran Selayang, memang tidak selesa.

“Kami harap kalau perkara ini dibuat nanti, sediakan di pelbagai kawasan strategik mengikut zon sebab kami sentiasa bergerak mengikut lokasi pesanan,” katanya yang juga pengundi Gombak.

Bagi Amirul Shamsuri, 29, dari Taman Sri Gombak, cadangan Amirudin membuktikan beliau prihatin dengan nasib pekerja sektor ekonomi sampingan itu.

“Kami boleh rehat selepas penat menghantar pesanan, bimbang juga kalau terlalu letih tidak dapat fokus ketika menunggang motosikal dan akhirnya kemalangan,” katanya yang bekerja sepenuh masa sebagai penghantar makanan.

Pendapat Amirul itu disokong Fahmi Izudin Johari, 27, yang berpandangan keletihan menjadi antara faktor pekerja e-panggilan terbabit kemalangan.

Fahmi Izudin Johari

“Sekarang ini kami hanya rehat di bawah jejambat atau perhentian bas. Bayangkan kalau waktu hujan terpaksa tahan kesejukan dan boleh jatuh sakit,” katanya.

Menerusi Deklarasi Gombak Bermaruah, Amirudin menawarkan penyediaan pusat rehat pekerja e-panggilan dilengkapi capaian jalur lebar, pengecas telefon, bilik mandi dan ruang solat.

Amirudin yang juga naib presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai calon nombor dua dalam kertas undi berdepan empat lagi pencabar bagi Parlimen Gombak.

Beliau mencabar penyandang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dari Perikatan Nasional yang mengalih sokongan hingga mengakibatkan kerajaan HARAPAN di Putrajaya tumbang pada Februari 2020.


Pengarang :