Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Klang membantu mangsa banjir kilat di Kampung Johan Setia, Klang pada 9 November 2022. Foto Facebook APM daerah Klang
AGENDANASIONAL

Risiko banjir kilat, JPS keluar notis siap siaga di Klang

SHAH ALAM, 10 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat melibatkan beberapa kawasan di Klang.

Agensi tersebut dalam kenyataan yang dikeluarkan setakat 5 petang hari ini, memaklumkan banjir kilat kemungkinan berlaku di Kampung Teluk Gong, Taman Daya Meru, pekan Meru serta kawasan sekitarnya.

Menurut maklumat itu, terdapat risiko banjir kilat di kawasan berkenaan sekiranya berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan dalam tempoh 12 jam daripada notis dikeluarkan.

Notis kesiapsiagaan dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan dalam tempoh tersebut.

JPS meminta semua pihak mematuhi arahan pengurusan bencana banjir dan melayari https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut.

Kerajaan Selangor mengambil beberapa inisiatif selain menyediakan pelbagai kemudahan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir hujung tahun ini.

Pada 28 September, sebanyak 67 agensi membabitkan 343 peserta terlibat dalam latih amal dan simulasi bencana negeri selama dua hari di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Simulasi tersebut bertujuan memastikan semua agensi terlibat bersiap sedia dari aspek perkhidmatan, peralatan dan aset bagi menghadapi apa jua bencana.

Selain itu, sebanyak 796 pusat pemindahan sementara yang boleh menampung 151,000 mangsa banjir juga bersedia untuk diaktifkan, selain menyediakan 12 pangkalan hadapan untuk menyimpan barang.

Sebanyak 164 bot selain lori dan pacuan empat roda turut ditempatkan di semua daerah manakala 15,972 petugas dari pelbagai agensi bersiap sedia untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.


Pengarang :