Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi Surau Al-Mustakim ketika majlis ramah mesra bersama jemaah surau di Taman AU5, Gombak pada 1 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RM15,000 tampung kos selenggara masjid, surau di Ampang

AMPANG, 1 NOV: Kerajaan Selangor menyalur peruntukan berjumlah RM15,000 bagi menyelenggara dua institusi ibadat sekitar kawasan ini.

Sumbangan RM10,000 diserahkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kepada Masjid As Sobirin manakala baki Surau Al-Mustakim.

Pengerusi Surau Al-Mustakim Muhammad Desa Man, 60, bersyukur atas bantuan itu dan bercadang membaiki kerosakan kecil selain menjalankan aktiviti pengimarahan di situ.

“Alhamdulillah bagi pihak jemaah dan pengurusan surau, saya berterima kasih atas kesudian beliau (Amirudin) memberi sumbangan.

“Insya-Allah, sebahagian peruntukan akan digunakan untuk baik pulih sistem pendawaian termasuk membayar bil elektrik dan selebihnya aktiviti bersama jemaah,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, beliau mengakui surau yang mampu menampun kapasiti 200 jemaah kerap mengalami kerosakan kecil sejak dibangunkan lebih lima dekad lalu.

“Sepanjang tempoh berkenaan, memang ada kerosakan tetapi diselenggara dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, Amirudin menunaikan solat Isyak bersama jemaah di surau terbabit. Sebelum itu, beliau meluangkan beramah mesra dengan pengurusan Masjid As Sobirin.


Pengarang :