Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) dan EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud (tujuh, kanan) bergambar bersama Duta Perpaduan Selangor 2022 pada majlis pelancaran duta tersebut dan muzik video #Kitakanselangor di Wyndham Acmar, Klang pada 30 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

RM300,000 untuk program Duta Perpaduan, pelihara keharmonian kaum

SHAH ALAM, 25 NOV: Sebanyak RM300,000 diperuntuk bagi melaksanakan program Duta Perpaduan Selangor (DPS) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu bagi mengukuhkan semangat perpaduan dan memastikan rakyat berbilang kaum hidup harmoni.

“Selangor menjadi negeri pertama mewujudkan inisiatif DPS yang merupakan projek rintis tahun ini dengan pelbagai etnik berlainan sebagai penggerak agenda perpaduan dan ‘mediator’.

“Program ini akan diperluas dengan melantik DPS daripada setiap DUN untuk memastikan kesedaran perpaduan dijalankan di peringkat akar umbi,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023 hari ini.

Amirudin berkata peruntukan sama turut disalur untuk Geran Perpaduan ‘Kita Selangor’ kepada agensi, persatuan dan badan bukan kerajaan bagi menjalankan program dan kempen perpaduan.

“Geran ini untuk memastikan mesej dan advokasi perpaduan dapat terus disampaikan kepada penduduk negeri ini secara berterusan serta memberikan impak yang baik kepada masyarakat,” katanya.


Pengarang :