Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Parlimen Ampang Rodziah Ismail bertemu penduduk di pasar malam Bandar Baru Ampang, Ampang Jaya pada 8 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rodziah buka ruang anak muda suarakan harapan buat Ampang

AMPANG, 10 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) kerusi Parlimen Ampang membuka ruang buat anak muda di kawasan ini menyuarakan isu berbangkit untuk diselesaikan.

Rodziah Ismail berkata cadangan dan pandangan boleh disuarakan pada program bicara bersama belia Ampang yang dijadual bermula Jumaat di beberapa lokasi.

“Kita sedang merancang beberapa program untuk semua anak muda di Ampang iaitu program bicara dengan mereka jika ada persoalan atau ingin mendengar apa harapan saya kepada anak muda.

“Jadi mudah untuk saya memikirkan apakah tawaran lain selain manifesto HARAPAN secara nasional (untuk ditawarkan kepada anak muda Ampang),” katanya semalam.

Ditemui selepas menyantuni pengundi Ampang Campuran dekat sini, EXCO perumahan, kesejahteraan bandar dan pembangunan usahawan meminta anak muda memantau jadual serta perjalanan program yang dikemaskini di media sosial.

“Saya mengharapkan mereka datang dan mencadangkan (pandangan). Kita tahu mungkin ada yang sibuk bekerja, tetapi mereka boleh lihat mana-mana slot sesuai untuk dihadiri,” katanya.


Pengarang :