Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Rodziah Ismail meninjau kawasan tebing yang terhakis ketika menyantuni pengundi dari rumah ke rumah di Kampung Bukit Sungai Putih, Ampang pada 15 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rodziah tangguh seketika kempen, lawat mangsa tanah runtuh di Ampang

Oleh SHAMZ JOHAN

AMPANG JAYA, 15 NOV: Rodziah Ismail menangguhkan seketika siri kempennya hari ini bagi meninjau kejadian tanah runtuh yang menjejaskan sebuah rumah di Taman Halaman di sini.

Calon Pakatan Harapan Parlimen Ampang berkata langkah awal memindahkan keluarga mangsa telah diambil pihak berwajib dan tindakan susulan dirangka selepas menerima laporan.

“Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat serta unit bencana juga bersama di tapak kejadian dan agensi terbabit akan bentang laporan khas bagaimana selesai masalah (tanah runtuh). Sekarang, yang penting pindahkan keluarga mangsa dahulu.

“Walaupun rumah yang terjejas satu, kita kena tengok bagaimana pengukuhan cerun di tengah-tengah itu. Pastikan kesemua penghuni lain selamat. Laporan akan diberi kepada EXCO esok dan kita akan tengok (langkah susulan),” katanya.

Beliau menambah, setiap lokasi cerun berisiko dan bahaya telah dikenal pasti MPAJ selain peruntukan untuk kerja pembaikan cerun berkenaan sudah diperoleh bulan lalu.

“Sebelum ini, saya (selaku penyelaras Parlimen Ampang) telah minta MPAJ mengenal pasti lokasi cerun-cerun sedia ada, dan bahagikan kedudukan serta statusnya.”

“Alhamdulillah, RM17.5 juta telah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (bulan lalu) untuk pembaikan cerun-cerun bahaya.” tambahnya lagi.

 


Pengarang :