AGENDAJENAYAH

Rompak doktor dan pembantu klinik, penganggur dipenjara 5 tahun, sebat

BANGI, 22 NOV: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi di sini, hari ini kerana merompak seorang doktor sebuah klinik dan pembantunya dengan mengacukan parang ke arah mereka.

Hakim Effandi Nazila Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Hafiz Ghazali, 32, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama manakala penjara lima tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan kedua serta memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula tarikh tangkap pada 9 Nov lepas.

Mengikut kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan terhadap Dr Ainun Najah Mohd Banuri, 26, dan pembantu klinik Nur Syazwani Noor Hisam, 24, dengan mengacukan sebilah parang dan melarikan sebuah komputer riba dan sebuah telefon bimbit di sebuah klinik pergigian di Bandar Seri Putra di sini, pada 1 tengah hari, 7 Nov lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya S. Sangitaa memohon hukuman berat memandangkan tertuduh menggunakan senjata berbahaya semasa melakukan jenayah selain mempunyai satu rekod lampau iaitu kes samun bersenjata beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, Muhammad Hafiz yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung dua anak selain memohon agar kesemua hukuman berjalan serentak.

Di mahkamah sama, rakan tertuduh, Mohd Hazani Mohd Yusof, 36, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan sama.

Mohd Hazani juga mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan iaitu melakukan rompakan terhadap pelanggan klinik Norjannah Hashim, 29, dengan melarikan seutas rantai leher di lokasi, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Sangitaa mencadangkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan bagaimanapun tertuduh merayu jaminan rendah kerana dia tidak mampu dan menanggung ibunya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 21 Dis ini untuk sebutan semula kes.

Baru-baru ini, tular satu video di media sosial berdurasi dua minit dan 34 saat yang memaparkan seorang wanita bergelut dengan dua lelaki untuk menyelamatkan barangan peribadinya dan turut kelihatan dua kakitangan klinik itu.

— BERNAMA

 


Pengarang :