Tangkap layar video tular memaparkan kekecohan di pusat penamaan calon pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di Dewan DSP Antanom, Tenom, Sabah pada 5 November 2022. Foto Facebook Jimmy Anteer
AGENDANASIONAL

Rusuhan di Tenom, ejekan ‘katak’, ‘penyamun’ cemari hari pertama PRU15

SHAH ALAM, 5 NOV: Selain kekecohan di Tenom, Sabah, hari penamaan calon pilihan raya umum ke-15 (PRU15) turut diwarnai ejekan penyokong parti yang geram terhadap penyandang akibat pernah berpaling tadah.

Penyandang kerusi Larut Datuk Seri Hamzah Zainuddin daripada Perikatan Nasional (PN) disorak dengan perkataan “katak” oleh penyokong bekas partinya Barisan Nasional (BN) sejurus keluar dari pusat penamaan calon di Pejabat Tanah dan Daerah Selama, lapor Berita Harian.

Di kubu kuat Tan Sri Muhyiddin Yassin, akhbar sama melaporkan penyokong BN dan PN masing-masing bersorak dan berbalas laungan “penyamun”, “perompak” dan “katak” di pusat penamaan calon di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Pagoh.

Beliau dicabar bekas timbalan menteri Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan Iskandar Shah Abd Rahman (Pakatan Harapan (HARAPAN)).

Sementara itu, bekas pemimpin PAS Datuk Dr Khairuddin Aman Razali disambut sorakan “bu” daripada penyokong parti itu ketika berada di pentas sebaik selepas tamat penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah, Kuala Nerus.

Bertanding atas tiket BN, penyandang kerusi Kuala Nerus bagaimanapun berkata beliau tidak berkecil hati dengan insiden berkenaan, lapor Malaysiakini.

Di Sabah, polis mengesahkan berlaku kekecohan di pusat penamaan calon PRU15 di Dewan DSP Antanom dan sedang menjalan siasatan terperinci.

Terdahulu tular beberapa klip video di media sosial kejadian rusuhan susulan penolakan borang pencalonan Datuk Peter Anthony (Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia).

Kerusi HARAPAN yang diwakili penyandangnya Noorita Sual dicabar oleh Jamawi Ja’afar (BN), Ukim Buandi (Warisan), Riduan Rubin (Bebas) dan Peggy Chaw Zhi Ting (Bebas).


Pengarang :