Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan Datuk Seri Saarani Mohamad mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perak di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah pada 21 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Saarani Mohamad angkat sumpah MB Perak

IPOH, 21 NOV: Datuk Seri Saarani Mohamad sekali lagi dipilih untuk memegang jawatan  Menteri Besar Perak selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 16 Okt lepas.

Saarani, 61, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Nazrin Shah pada 5.40 petang ini di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Pencalonan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak sejak 2018 sebagai Menteri Besar itu dipersetujui Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selepas kedua-dua gabungan politik itu bersetuju untuk bekerjasama membentuk kerajaan negeri.

Dilahirkan pada 13 Mac 1961 di Kampung Raban, Lenggong, Saarani memulakan kerjaya sebagai guru pada 1982 setelah menamatkan pengajian Diploma Sains serta Pendidikan (Fizik dan Matematik) di Universiti Teknologi Malaysia.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian (Pengurusan Sumber Manusia) daripada Open University Malaysia (OUM) itu menyertai UMNO pada 1989 dan menjadi ADUN Lenggong dari 1999 hingga 2004.

Atas dedikasi dan komitmen sebagai wakil rakyat, ayah kepada lapan anak itu berjaya menjadikan DUN Kota Tampan sebagai kubu kuat UMNO sejak mula memenanginya pada 2004.

Ketika PH memerintah Perak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Saarani dilantik sebagai Ketua Pembangkang DUN Perak, namun ‘status’ itu tidak lama setelah PH tumbang dan menyaksikan Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada ADUN UMNO, Bersatu dan PAS mengambil alih pemerintahan.

Saarani juga pernah menjadi menjadi Exco Kerajaan Negeri Perak dengan memegang beberapa portfolio antaranya Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Perladangan; Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, dan yang terakhir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.

Pelantikan Saarani mengisi senarai Menteri Besar Perak bersama 12 yang lain iaitu Datuk Seri Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz (1948-1957); Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi (1957-1960); Datuk Seri Shaari Shafie (1960-1964) dan Datuk Seri Ahmad Said  (1964-1970).

Datuk Seri Kamaruddin Mohd Isa (1970-1974); sebelum Mohamed Ghazali sekali lagi dilantik selama empat tahun dari 1974 hingga 1977; Datuk Seri Wan Mohamed Wan Teh (1977-1983), Tan Sri Ramli Ngah Talib (1983-1999); Tan Sri Mohd Tajol Rosli Mohd Ghazali (1999-2008); Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (2008-2009), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (2009-2018) dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (2018-2020).

— BERNAMA


Pengarang :