Kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) melayan orang ramai ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 18 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Sambutan menggalakkan, jualan murah PKPS di Parlimen Gombak hingga 17 Nov

AZIAN AZIZ

GOMBAK, 1 NOV: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menganjurkan Jelajah Ehsan Rakyat di sekitar Parlimen Gombak bermula hari ini sehingga 17 November.

Penolong Pengurus Logistiknya Mohd Hasri Abu Hassan berkata program jualan murah barangan asas itu dijalankan setiap hari kecuali Jumaat di kawasan berkaitan berikutan sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

“PKPS menbuat keputusan mengadakan jualan setiap hari yang akan berlangsung 15 hari demi memenuhi permintaan penduduk bagi mendapatkan barang keperluan asas.

“Jadi kita minta semua pembeli supaya datang awal terutama yang ingin membeli ayam dan telur kerana kedua-dua barangan itu paling cepat habis,” katanya ketika ditemui dalam program Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Flat Putri Laksamana, Batu Caves di sini.

Menurut Mohd Hasri, sebelum ini program jelajah tersebut dibuat secara bergilir-gilir di setiap kawasan Parlimen di negeri ini.

PKPS menganjurkan jelajah dengan lori ke lapangan menawarkan barangan seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Tidak ketinggalan ikan kembung atau selayang dengan RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10) yang dijual perbadanan menggunakan lori.

Kerajaan negeri memperuntukan RM10 juta untuk program JER di 56 DUN mulai 6 September lalu hingga 6 Disember ini melibatkan 160 lokasi.

Inisiatif itu bagi membantu rakyat berdepan kenaikan harga barang dan telah memberi manfaat kepada lebih 80,000 orang sejak diperkenalkan.

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https:linktr.ee/myPKPS untuk kemaskini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :