Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Hulu Langat Mohd Sany Hamzan ketika sidang media selepas bertemu dengan penduduk di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat pada 11 November 2022. Foto Facebook Mohd Sany Hamzan
AGENDANASIONAL

Sany tekad pastikan 400 mangsa bah Hulu Langat dapat bantuan kerajaan pusat

HULU LANGAT, 11 NOV: Mohd Sany Hamzan tekad memperjuangkan nasib hampir 400 mangsa bah yang belum menerima bantuan dari kerajaan persekutuan jika menang pada 19 November.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Hulu Langat sedih apabila mendapat tahu kesemua mangsa menunggu hampir setahun untuk mendapatkan bantuan RM5,000 seperti yang dijanjikan.

“Saya difahamkan mangsa yang tidak dapat lagi bantuan ialah 300 penduduk di Taman Seri Nanding, Batu 16 ada 70 penduduk dan Batu 17 kira-kira 10 penduduk. Sehingga hari ini tiada berita diterima, amat mendukacitakan kita.

“Kerajaan pusat telah memperuntukkan lebih RM2 bilion melalui Bantuan Banjir Keluarga Malaysia, jadi tolonglah segerakan pemberian berkenaan,” katanya selepas perjumpaan bersama penduduk Kampung Sungai Serai di sini hari ini.

“Angka itu (peruntukan) dibincang bukan tepi jalan atau kedai mamak. Semestinya melibatkan pelbagai agensi terutama kewangan. Oleh itu selesaikan masalah ini segera, bukan sekadar cakap sahaja.”

Penduduk merakam kawasan perkampungan Sungai Lui selepas dilanda banjir besar yang mengakibatkan kerosakan harta benda ketika tinjauan Media Selangor di Hulu Langat pada 21 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Hulu Langat antara daerah terjejas teruk di Selangor susulan kejadian banjir besar pada 18 Disember tahun lalu.

Susulan kejadian itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 31 Disember mengumumkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia.

Antara insentif ditawarkan termasuklah bantuan tunai sehingga RM5,000 untuk kerja pembaikan rumah kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan tidak serius.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) kepada penduduk terkesan banjir di Sekolah Menegah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat pada 29 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan Bantuan Selangor Bangkit bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan wang tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.

Bantuan RM1,000 berkenaan selesai diagih kepada 122,000 keluarga terjejas bencana seluruh negeri membabitkan peruntukan RM122 juta pada awal Mei.


Pengarang :