Pemain Nossa Bukit Jelutong, Aqil Arazi (tengah) melakukan sepakan gunting ketika menentang MP Sepang dalam perlawanan keeempat Selangor Champions League 2022 di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada 6 November. Foto Persatuan Bola Sepak Selangor
AGENDASUKANKINI

SCL: Kedudukan NPNG Damansara, Najmi SFFC terus kukuh

SHAH ALAM, 9 NOV: NPNG Damansara Perdana dan Najmi SFFC KD mengekalkan kedudukan di takhta liga selepas masing-masing menang dalam perlawanan keempat Selangor Champions League (SCL) 2022.

Pendahulu kumpulan A NPNG Damansara Perdana dipaksa bekerja keras sepanjang perlawanan sebelum menundukkan Kajang Bujangga 1-0 hasil jaringan tunggal Yazid Kamaruzuan pada minit ke-25.

Keputusan sama dicatat MBPJ FC ketika menewaskan Belia Selangor menerusi gol Adam Syafiq Fua-ad pada minit kelapan, untuk terus mengekori rapat di tangga kedua, ketinggalan satu mata.

Baki dua perlawanan kumpulan A menyaksikan Gamestop Alam Megah menewaskan KRU Port Klang 1-0 manakala Sijangkang City yang beraksi dengan 10 pemain menang 2-0 ke atas OSV Ampang.

Tonggak Belia Selangor, Afiq Amsyar (kiri) cuba merampas bola daripada pemain MBPJ FC, Satkunan Latchimanan dalam perlawanan keeempat Selangor Champions League 2022 di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada 3 November. Foto Persatuan Bola Sepak Selangor

Sementara itu, dua jaringan Muhd Asraf pada babak kedua memberikan kelegaan kepada Najmi SFFC KD yang bangkit menewaskan Ingress KL FC 2-1 meskipun ketinggalan pada awalnya.

Muhd Asraf muncul wira pasukan apabila berjaya meledak gol pada minit ke-52 dan lewat permainan bagi memastikan pasukannya kekal mendahului kumpulan B.

Kelana United FC turut mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas MPKj FC, hasil jaringan tunggal Fakri Saarani untuk kekal di tangga kedua, mengumpul 10 mata bersama Najmi SFFC KD.

Dua lagi aksi kumpulan B menyaksikan Nossa Bukit Jelutong terus terperosok ke dasar liga tanpa sebarang mata selepas tewas 0-1 kepada MP Sepang dan Bandar Putera 2 membelasah Rawang Mozyda 5-1.

 

 


Pengarang :